2R BUAT PILIHAN 'MUFARAKAH'…
Sehingga ini belum ternampak ada
tanda-tanda Dr. Rais Yatim dan Rafidah Aziz, dua bekas menteri kabinet mahu
mengendur daripada terus mengkritik kerajaan.
Setelah sekian lama agak berdiam
diri dan rampasan kapal mewah Equanimity
milik Jho Low membuatkan mereka mula tampil bersuara, kini suara kedua-duanya
seakan semakin sukar untuk dihentikan begitu saja.
Meskipun Dr. Rais masih terkait
bersama kerajaan dengan memegang jawatan penasihat sosio budaya bertaraf
menteri dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa, tetapi ia sama sekali tidak
menjadikan beliau bungkam dan hanya menyimpan suaranya di halkum semata-mata.
Jika sebelum ini beliau menegur
sikap Salleh Said Keruak, Nazri Aziz dan beberapa pihak dalam UMNO yang bagai
meletakkan Jho Low lebih penting daripada parti dan kerajaan, sedangkan kes
melibatkannya umpama "bangkai" yang sudah berbau, Dr. Rais seterusnya
menyatakan kedudukannya sebagai penasihat kepada kerajaan tidak semestinya
membuatkan beliau hanya perlu diam sahaja.
"Saya dilantik oleh Perdana
Menteri sebagai penasihat. Sebagai penasihat, saya buat apa, nak diam saja?
"Tetapi, orang kata Rais
Yatim sudah meroyan. Belum tahu lagi siapa yang meroyan dalam hal ini,"
tambah beliau.
Rafidah pula, bermula dengan
mempertikaikan kegagalan pihak berkuasa Malaysia mengesan Equanimity, sedangkan
beliau sendiri pernah terserempak dengan "kediaman terapung" bernilai hampir RM1,000 juta itu, suara
beliau seterusnya tampak lebih garang dan berani.
Menjelang PRU 14 akan datang,
bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mengingatkan rakyat
Malaysia agar tidak mengundi pemimpin politik yang korup.
Katanya, memilih pemimpin yang
korup samalah seperti membenarkan salah laku mereka dan ia merupakan perbuatan
subahat serta khianat kepada negara.
Soalnya, apa selepas ini?
Apakah jika Dr. Rais dan Rafidah
terus bersuara, malah mungkin dengan lebih lantang, tetapi masih kekal dalam
UMNO dan kerajaan, tindakan itu mampu membantu perubahan dalam negara?
Memang tidak dapat dinafikan,
kedua-dua mereka masih dan sedikit sebanyak ada pengaruh dan pengikut di sana
sini, sebab itu keberanian dan kelantangan bersuara saja tidak memadai jika benar mereka juga mahukan perubahan
sebagaimana yang diimpikan oleh jutaan rakyat Malaysia yang lain.
Harus diingat bahawa perjuangan
dalam negara sekarang adalah menentang kemungkaran dan mengelakkan negara
daripada terus rosak dan binasa. Bagaimana lantang dan berani sekali pun dalam
bersuara, ia tidak akan bermakna jika terus bersekongkol dengan kemungkaran
yang sama.
Lantaran itu, adalah penting bagi
Dr. Rais dan Rafidah agar segera membuat pilihan dan keluar daripada terus
bersekongkol dengan mereka yang korup.
Pilihan terbaik bagi kedua-duanya
ialah melepaskan semua jawatan dalam kerajaan dan sama-sama bergerak ke arah
perubahan.
Mereka mesti berani menunjukkan
kepada rakyat bahawa mereka yang korup sedang menguasai negara dan sedang
membawa kerosakan dan kehancuran kepada kita semua.
Tidak semestinya dengan melepakan
jawatan dalam kerajaan, kedua-duanya perlu menyertai mana-mana parti dalam
Pakatan Harapan atau pun bertanding dalam piliharaya akan datang.
Itu barangkali adalah pilihan
yang kedua.
ABJ: Pilihan pertama ialah mereka mesti berani dan pantas memisahkan
diri atau "mufarakah" daripada UMNO serta BN dan menunjukkan kepada
rakyat bahawa kerajaan sedia ada sudah tidak berguna dan perlu ditukar dengan
segera. Ayuh 2R marilah kita lawan mereka korup dan bersama-sama menyelamatkan negara.
Comments
Post a Comment