HUDUD ADALAH KEADILAN BUKAN PENGANIAYAAN
Adakah hudud itu hanya hukuman
memotong tangan dan bukan undang-undang yang jauh lebih adil dan
perikemanusiaan berbanding undang-undang sivil yang digunakan sekarang?
Persoalan ini timbul apabila Pas yang merintis gagasan hukum hudud tidak membentangkan
bahawa undang-undang Islam membimbing manusia ke arah kebaikan, menyuburkan
kemanusiaan dan keadilan.
Misalnya kenyataan Timbalan
Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah pada 2 Januari lalu di Astro Awani, Tukang potongtangan sudah ada bagi kesalahan curi - Mohd Amar , bahawa kerajaan negeri sudah
ada bayangan individu yang akan menjadi tukang potong tangan bagi menjalankan
hukuman melibatkan kes kecurian atau Sariqah mengikut Enakmen Kanun Jenayah
Syariah 11 Kelantan 1993 Pindaaan 2015.
Beliau menambah, individu yang
dibayangkan itu adalah dalam kalangan doktor yang mempunyai kepakaran dalam
bidang pembedahan. Bagaimanapun menurut beliau lagi, kumpulan doktor pakar
berkenaan masih belum dilantik memandangkan Rang Undang-Undang Persendirian
(RUU) Akta 355 masih dibahaskan di Parlimen.
Amat mengecewakan sekali apabila
hudud disinonimkan dengan potong tangan. Tahukah Pas bahawa kenyataan begini
memberikan persepsi yang salah sama sekali terhadap kemurnian huduh. Kalau
beginilah pemikiran Pas terhadap hudud, tidak salah kalau bukan Islam
menganggap hudud itu tidak berperikemanusiaan dan mereka menentang hudud.
Apakah bezanya kenyataan yang
memberi penekanan pada bab potong tangan dengan banyak kekejaman di luar negara
yang melakukan di atas nama Islam? Taliban misalnya melakukan kekejaman atas
nama Islam dan merujuk itulah hudud. Ini mesti diperbetulkan bukan dikelirukan.
AMJ sangat percaya hukuman potong
tangan, dirotan 100 kali atau direjam sampai mati adalah persepsi yang
ditonjolkan oleh musuh-musuh Islam. Tujuannya supaya hudud dilihat sebagai
sistem perundangan yang kejam, tidak bertamadun dan tidak adil.
Inilah kerja musuh-musuh Islam
dan sekarang usaha mereka telah berjaya apabila Pas sendiri lebih banyak
bercakap tentang potong tangan berbanding sekian banyak kebaikan kepada Islam
dan bukan Islam di bawah hudud.
Sebenarnya hudud lebih kepada
usaha membanteras daripada menghukum. Ia membentuk sikap bertanggungjawab dan
melahirkan anggota masyarakat yang berkualiti tinggi. Tetapi sangat malang
apabila hudud seolah-olah hanya hukuman potong tangan.
Hudud akan kembali menjadi
polemik kitar semula dan modal politik dalam kalangan yang bersetuju atau
menentang hukum ini. Hudud mempunyai nilai yang tinggi di pasaran politik untuk
memperlihatkan ‘lebih Islam’ , ‘kurang Islam’ dan ‘tidak Islam’ pihak tertentu.
AMJ membaca kenyataan Mohd Amar
berulang kali dan semacam tidak percaya kenyataan ini boleh dikeluarkan seorang
pemimpin kanan Pas. Maka AMJ pun tertanya-tanya adakah yang penting kepada Pas
dalam soal hudud hanya ‘potong tangan’? Kalau tidak, penting kenapa isu potong
tangan ditonjolkan?
Kenyataan Mohd Amar tidak salah
tetapi tidak kena dalam suasana di mana banyak pihak sengaja mencetuskan keliru
dan persepsi buruk terhadap hudud. Musuh Islam memperlihatkan Islam dan hudud
sebagai tidak bertamadun dan kejam. Mohd Amar seorang ulama tentu faham bahawa
untuk sampai kepada potong tangan, prosesnya bukan mudah.
Proses yang diistilahkan sebagai
bukan mudah inilah nilai-nilai keadilan yang sangat diutamakan dalam
perundangan Islam. Misalnya dalam undang-undang sivil yang diamalkan sekarang,
mencuri sebuku coklat di pasar raya hukumannya sama dengan penjenayah kolar
putih yang mencuri ‘berjuta-juta Ringgit Malaysia.’
Sebab itulah ada pihak yang
sinikal berkata, kalau hendak mencuri, curilah banyak-banyak kerana sedikit pun
hukumannya sama juga. Ini merujuk undang-undang sivil yang tidak semuanya adil.
Tetapi ini tidak berlaku dalam hudud.
Seorang ulama yang tidak mahu
nama disebut (yang pasti bukan pelawak) memberitahu AMJ, sekiranya hukum hudud
dilaksanakan di negara ini, mungkin tidak ada orang yang dipotong tangannya
kerana mencuri.
AMJ tanya, adakah tidak ada
kecurian? Beliau berkata, jumlah kes mungkin berkurangan tetapi untuk sampai ke
peringkat di mana pesalah kes mencuri dipotong tangan adalah sangat kecil malah
mungkin tidak ada. Hukuman diganti dengan yang lebih rendah kerana hudud itu
adil bukan zalim atau kejam.
Kata ulama ini, kalau
membicarakan tentang hudud, tidak usahlah membina persepsi buruk kepada hukum
Islam dengan membesar-besarkan konotasi yang membawa maksud kezaliman atau
kekejaman. Hudud lebih kepada membanteras berbanding menghukum. Hudud itu
keadilan bukan penganiayaan.
ABJ: Penyelewengan telah banyak dilakukan di luar negara dan Islam
mendapat imej buruk. Musuh-musuh Islam tidak menonjolkan sisi putih hukum
hudud, maka menjadi tanggungjawab golongan bijak pandai Islam untuk menunjukkan
hudud satu sistem yang adil. Kalau bijak pandai Islam pun semangkuk dengan
musuh-musuh Islam, kita kalah dan mereka akan menang. Apa kata hokum hudud jika
kita bawa keluar isteri orang dan duduk berdua-duaan???
Comments
Post a Comment