SIAPA DATIN INI? WAJARKAH HANYA HUKUMAN BON BERKELAKUAN BAIK?
Pagi ini fikiran ABJ agak
terganggu setelah membaca berita mengenai seorang Datin yang hanya dihukum
dengan bon berkelakuan baik kerana mendatangkan kecederaan serius kepada
seorang pembantu rumah.
Datin yang bernama Rozita Mohamad
Ali itu pada mulanya didakwa atas kesalahan cubaan membunuh Suyanti Sutrinso, tetapi dipinda dengan didakwa di
bawah Seksyen 326 iaitu dengan sengaja
mendatangkan kecederaan parah.
Berikutan beliau menukar
pengakuan kepada bersalah, hakim Mahkamah Sesyen kemudian hanya menjatuhkan
hukuman dengan bon berkelakuan baik sebanyak RM20 ribu untuk tempoh 5 tahun
kepada Rozita.
Mengikut Seksyen 326 Kanun
Keseksaan, seseorang yang didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga 20
tahun.
Meskipun Datin itu mengaku bersalah, wajarkah
hukumannya hanya dengan bon berkelakuan baik saja?
Pasti bukan ABJ seorang, bahkan
ramai lagi yang turut terganggu dengan hukuman yang diterima oleh Datin
tersebut, lebih-lebih lagi berdasarkan cara penderaan dan kecederaan yang
dialami oleh mangsa.
Ketika kejadian pada Disember
2016 itu, media pernah melaporkan bahawa
Datin berkenaan didakwa menggunakan pisau, sebatang mop, sekaki payung dan
penyangkut baju sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian tangan, kaki dan
organ dalaman kepada mangsa.
Video Suyanti yang cedera parah
dan terbaring berdekatan longkang di satu kawasan perumahan di Mutiara
Damansara kemudian menjadi viral di media sosial sehingga menyebabkan pelakunya
dapat ditangkap dan didakwa di mahkamah.
Siapakah sebenarnya Datin
tersebut?
Mengapakah hukuman seringan itu
dijatuhkan kepadanya sedangkan mangsa mengalami kecederaan yang amat serius?
Lihatlah kecederaan yang dialami
mangsa dan bayangkan jika mangsa itu adalah adik beradik, saudara mara atau
ahli keluarga kita sendiri, apakah kita reda dan boleh berdiam diri andai
pelakunya tidak dihukum dengan setimpal?
Demi keadilan sesama manusia,
Peguam Negara seharusnya segera membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah
Sesyen itu agar perbicaraan semula dapat diadakan di Mahkamah Tinggi.
Beberapa peguam telah pun bangun
bersuara dalam hal ini, tetapi sudah tentu suara mereka saja tidak memadai.
Pihak kerajaan, pemimpin politik,
NGO, persatuan wanita, malah seluruh rakyat juga seharusnya bangun mendesak
supaya keadilan dapat benar-benar ditegakkan dalam kes ini.
Comments
Post a Comment