BENARKAH KERANA SKANDAL WATERGATE NIXON BERJAYA DITUMBANGKAN??? ATAU…
Selepas menonton untuk kali yang ABJ
sendiri tidak ingat filem All The President’s Men (1980), terfikir pula untuk
menulis tentang integriti dua wartawan The Washington Post yang membongkar
skandal Watergate melibatkan Presiden Richard Nixon. Filem yang diadaptasi oleh
Alan J Pakula dari buku judul yang sama sangat memukau saya.
ABJ sangat tertarik tentang
keterlibatan wartawan dan pengarang mereka untuk mendedahkan kebobrokan seorang
Presiden yang sangat berpengaruh pada dekad 1970-an. Sangat luar biasa bukan
sahaja usaha tetapi keberanian kerana Nixon seorang Presiden yang paling
berpengaruh.
Nixon dikaitkan dengan Watergate
tetapi dia bertegas tidak terlibat semua skandal itu. Bagaimanapun apabila
kuncu-kuncu Nixon akhirnya mengaku sebagai “orang Nixon”, dia tidak ada
pilihan. Dia terpaksa meletak jawatan dalam keadaan yang sangat memalukan.
Nixon terpaksa berbuat demikian apabila mereka yang digelar “All the
President’s Men” mengaku menerima arahan daripada Nixon.
Satu adegan filem All The
President’s Men
ABJ terpikat mengikuti
perkembangan skandal Watergate ini agak lama iaitu ketika di tingkatan dua
selepas Nixon meletakkan jawatan pada 8 Ogos 1974 akibat skandal itu.
Perkembangan itu saya ikuti daripada laporan akhbar arus perdana kita yang dilanggan
oleh pihak perpustakaan sekolah.
Skandal Watergate tercetus
selepas sekumpulan pencuri memecah masuk pejabat Parti Demokrat pada 17 Jun
1972. “Watergate” adalah merujuk premis pejabat Demokrat di Kompleks Watergate.
Nixon ketika itu dalam kempen pemilihan semula sebagai Presiden mewakili Parti
Republikan. Semua pencuri itu ditangkap dan mereka didapati mempunyai akses
dengan Nixon dan White House.
Nixon telah “memperkudakan” Biro
Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Perisikan Pusat (CIA). Kedua-dua agensi
yang berkuasa dalam hal ehwal penyiasatan dan perisikan ini bertindak
melindungi Nixon termasuk skandal dana kempen pilihan raya Presiden. Sekiranya
tanpa restu FBI dan CIA, tidak ada pihak yang boleh mengambil tindakan ke atas
Nixon.
Bob Woodward sekarang
Persoalannya kenapa akhirnya
Nixon terpaksa juga meletakkan jawatan dalam keadaan yang sangat memalukan
iaitu mengaku terlibat dengan skandal Watergate? Ada beberapa faktor yang
sangat ketara antaranya.
1 – Adanya wartawan yang
memperjuangkan kebenaran, Pengarang akhbar yang menjulang kebebasan akhbar
untuk kepentingan rakyat. Wartawan The Washington Post Bob Woodward dan Carl
Bernstein komited untuk mengapungkan kebenaran walaupun nyawa mereka terancam.
Akhbar yang dipimpin oleh
pengarangnya, Ben Bradlee menyiarkan tidak kurang 200 berita pendedahan tentang
skandal Watergate sepanjang dua tahun isu itu. Maruah dan prinsip kewartawanan
yang tinggi membuatkan Pengarang The Washington Post itu tidak membiarkan
dirinya dikawal oleh Nixon. Dia bertanggungjawab kepada seluruh rakyat Amerika
bukannya untuk menjaga kerjaya politik Nixon. Bradlee telah meninggal dunia
pada 22 Oktober 2014 pada usia 93 tahun.
The Washington Post menjadi mercu
tanda kemenangan para wartawan menjulang maruah dan prinsip kewartawanan untuk
bangkit dan melawan kuasa politik yang bobrok.
Pada masa yang sama akhbar dan
wartawan kembali diyakini oleh rakyat bahawa tidak semua (wartawan dan
pengarang) boleh dibeli secara tidak bermaruah dengan wang ringgit. Tanpa
penglibatan secara langsung wartawan dan pengarang The Washington Post, Nixon
mungkin terus kaya raya dengan kebobrokannya.
2 – Amerika ketika itu mempunyai Pendakwaraya Khas
yang berani, Archibald Cox yang mensapina semua pita rakaman di White House.
Bukan suatu yang mudah tetapi tidak mustahil untuk membentangkan semua rakaman
percakapan di White House di mahkamah. Ini membuatkan Nixon cuba menggunakan
kuasanya mengarahkan pemecatan Cox tetapi tidak berjaya.
3 – Ada Peguam Negara yang menjunjung integriti
berbanding pangkat, kuasa dan wang. Dia adalah Elliot Richardson dan
timbalannya William D. Ruckelshaus yang sanggup meletak jawatan kerana enggan
menurut arahan Nixon supaya memecat Pendakwaraya Khas iaitu Cox. Akhirnya usaha
Nixon menggagalkan pendakwaan sia-sia. Cox tidak dipecat dan Peguam Negara yang
menggantikan Richardson juga mempunyai integriti yang tinggi.
4. –
Tampil manusia mulia yang sanggup mengambil risiko memberi maklumat
kepada dua wartawan The Washington Post, Bob Woodward dan Carl Bernstein. Dia
adalah Pengarah Bersekutu FBI, W. Mark Felt. Dia dan dua wartawan itu
merahsiakan identitinya lebih tiga dekad. Ketika itu dia hanya dikenali sebagai
Deep Throat. Bagaimanapun majalah Vanity Fair pada edisi 31 Mei 2005 menyiarkan
pengakuan Mark Felt yang berusia 91 tahun bahawa dia adalah Deep Throat.
Penulis J. Anthony Lukas dalam
bukunya Nightmare: The Underside of Nixon Years (1976) mengesyaki bahawa Deep
Throat ialah Mark Felt. Bagaimanapun Mark Felt bertindak bijak, dia tidak
memberikan apa-apa reaksi seolah-olah andaian Lukas itu tidak ada kena mengena
dengan dirinya.
Yang tragisnya banyak individu
berpengaruh disyaki sebagai Deep Throat dan meninggal dunia sebelum Mark Felt
mendedahkan dirinya. Antara mereka ialah Penasihat Nixon, John Ehrlichman
meninggal dunia pada 1999, Setiausaha Akhbar Nixon, Ron Ziegler meninggal dunia
pada 2003, Ketua CIA, William E. Colby meninggal dunia pada 1996 dan Pemangku Pengarah
FBI, L. Patrick Gray yang tinggal hanya empat blok dari tempat tinggal Woodward
meninggal dunia pada 2005. Mereka dan Nixon yang meninggal dunia pada 22 April
1994 tidak tahu siapa sebenarnya Deep Throat.
ABJ: Moral ceritanya untuk
menangani skandal yang melibatkan penguasa yang besar lagi tinggi kuasanya
memerlukan sokongan padu individu dan organisasi pencegahan rasuah yang
berintegriti, bertanggungjawab kepada rakyat bukan kepada Presiden. Mesti
didokong pula oleh penguasa yang menjulang undang-undang yang berintegriti
bukan dilantik untuk melindungi Presiden. Kalau kepentingan rakyat diutamakan,
penguasa sehebat Nixon boleh sahaja dijatuhkan kerana tiada integriti.
Comments
Post a Comment