MASIH ADAKAH TANAH SIMPANAN MELAYU???
Salah satu resolusi yang diputuskan
dalam Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat yang
diadakan baru-baru ini adalah mengenai isu tanah rizab Melayu. Isu ini menjadi
tumpuan memandangkan terdapatnya tindakan tidak bertanggungjawab yang gagal
menguruskan tanah rizab Melayu dengan baik seperti yang dimandatkan dalam
Perlembagaan Persekutuan.
Tanah simpanan Melayu mempunyai
sejarah panjang yang mendasari pembentukan Persekutuan Tanah Melayu. Memetik
salah satu ungkapan Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang berbunyi: “Kami
isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kami isytihar dan
simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan,
Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah
bersama-sama kaum lain.”
Kini, setelah 60 tahun merdeka
masih ada pihak yang gagal menghayati pentingnya tanah simpanan Melayu. Malah
isu hak pegangan tanah juga kadangkala dikaitkan dengan isu perkauman yang
sempit. Maka, seeloknya rujukan dibuat kepada Perkara 89 dan 90 Perlembagaan
Persekutuan yang memperjelaskan kedudukan tanah simpanan Melayu, tanah adat di
Negeri Sembilan dan Melaka serta tanah Pegangan Melayu di Terengganu.
Perkara ini secara jelas
memperuntukkan semua hal berkaitan tatacara pengurusan, pembangunan dan
pengelasan tanah simpanan Melayu.
Dalam menangani hujah nakal yang
mempersoalkan kewujudan tanah simpanan ini, rujukan boleh didorong dengan
pemahaman tanah rizab seperti yang dinyatakan di Perkara 89(1) Perlembagaan
Persekutuan. Tanpa memerlukan kemahiran berfikir yang tinggi pun, ia secara
tersurat mengesahkan bahawa telah wujud tanah-tanah rizab sebelum merdeka dan
status tanah-tanah rizab ini hendaklah kekal selepas kemerdekaan. Perkara 89(1)
ini secara tidak langsung juga menyatakan wujudnya undang-undang di
negeri-negeri Melayu yang mengawal selia urusan tanah simpanan Melayu ini.
Secara ringkas undang-undang
tanah simpanan Melayu mula diperkenalkan pada 1 Januari 1914 apabila Enakmen
Rizab Melayu 1913 dikuatkuasakan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Enakmen ini
bagaimanapun dimansuhkan dan diganti pula dengan Enakmen Rizab Melayu 1933 yang
seterusnya disemak semula pada 1935 dan diterbitkan semula sebagai Enakmen
Rizab Melayu (Negeri Melayu Bersekutu Bab 142). Bagi negeri-negeri seperti
Kedah, Perlis, Terengganu, Johor dan Kelantan juga terdapat enakmen yang
mengawal selia rizab Melayu.
Menurut Perkara 89(6)
Perlembagaan Persekutuan, tanah simpanan Melayu adalah tanah yang disimpan
untuk diberi hakmilik kepada orang Melayu atau kepada anak negeri bagi negeri
tempat terletaknya tanah itu; dan `orang Melayu’ termasuklah mana-mana orang yang,
di bawah undang-undang negeri tempat dia bermastautin, dikira sebagai orang
Melayu bagi maksud perizaban tanah.
Bagi mengidentifikasikan Melayu
dalam konteks ini, kita harus merujuk kepada enakmen-enakmen negeri kerana
takrifan sebagai ‘Melayu’ adalah berbeza mengikut negeri-negeri.
Misalnya, menurut Enakmen Perlis,
Melayu itu ditakrifkan sebagai seorang daripada bangsa Malaya atau orang
keturunan Arab yang lazimnya berbahasa Melayu dan menganut agama Islam manakala
bagi Enakmen 1913, Melayu adalah bangsa Malaya yang bertutur bahasa Melayu atau
mana-mana bahasa Malaya dan menganut agama Islam.
Hakim Abdul Malik Ishak dalam kes
Muthammah a/p Govindran v Masri Mohamed & Anor ada mengulas mengenai tanah
rizab Melayu ini dengan menyatakan bahawa Enakmen Rizab Melayu bertujuan bagi
negeri-negeri Melayu melindungi orang Melayu berhubung dengan kepentingan
mereka di tanah simpanan Melayu.
Tambah beliau, sebarang transaksi
untuk menjual, memperoleh atau percubaan untuk menjual atau memperoleh tanah
simpanan Melayu yang bertentangan dengan enakmen-enakmen adalah tidak terpakai
dan terbatal. Kes ini membuktikan tanah simpanan Melayu bukanlah sesuatu
perkara baharu dan adanya undang-undang mengenainya sejak sebelum merdeka.
Justeru ini adalah satu hujah
yang pramatang sekiranya terdapat pihak yang menyatakan amalan tanah simpanan
Melayu ini bersifat perkauman dan tidak relevan. Fakta sejarah serta
undang-undang telah membuktikan kewujudan tanah simpanan Melayu dan ia
dilindungi oleh undang-undang sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi.
Maka adalah menjadi tanggungjawab
bagi kerajaan yang memerintah untuk melaksanakan wasiat Raja-Raja Melayu ini
dan memelihara tanah rizab Melayu ini seperti mana yang digariskan dalam
Perlembagaan Persekutuan.
ABJ: Siapa pengkhianat amanah
Raja-Raja Melayu? Hamba rakyat apatah lagi menjadi mangsa…
Comments
Post a Comment