1MDB SEMAKIN TERDEDAH...
Berikutan pendedahan Menteri
Kewangan, Lim Guan Eng semalam bahawa kerajaan telah menyelamatkan pembayaran
hutang 1MDB dengan jumlah hampir RM7 bilion sejak April 2017, CEO syarikat itu,
Arul Kanda Kandasamy telah dipanggil
untuk menjelaskan beberapa perkara kepada Kementerian Kewangan.
Arul Kanda yang ketika musim
kempen PRU14 lalu pusing seluruh negara menceritakan kekukuhan 1MDB, tetapi di
hadapan Guan Eng beliau menyatakan tidak tahu menahu tentang kedudukan kewangan
syarikat tersebut.
Arul Kanda juga menyatakan tidak
pasti berkaitan dana pelaburan berjumlah RM9.8 bilion milik 1MDB yang disimpan
dalam Brazen Sky Ltd atau sama ada ia benar-benar wujud atau tidak.
Sehubungan itu, Guan Eng
melabelkan Arul Kanda sebagai tidak jujur dan tidak boleh dipercayai.
Beliau juga kemudian mengarahkan
penasihat undang-undang Kementerian Kewangan agar menyemak semula kedudukan
Arul Kanda dalam 1MDB, selain mengambil alih pejabat syarikat itu.
Yang lebih mengejutkan, Guan Eng
turut mendedahkan bahawa hanya Arul Kanda satu-satunya pekerja 1MDB sejak awal
tahun ini.
Dalam pada itu, seorang ahli
lembaga pengarah 1MDB, Kamal Mohd Ali
dalam pengakuannya kepada Guan Eng mengatakan pelaburan unit dana
bernilai RM9.8 bilion yang disimpan oleh anak syarikatnya, Brazen Sky Ltd
adalah suatu bentuk penipuan.
"Kamal menggelarkan
pelaburan itu suatu penipuan kerana pengurusan 1MDB berulang kali gagal
membekalkan kepada lembaga pengarah dengan sebarang bukti mengenai kewujudan
pelaburan itu sejak lebih dua tahun lalu," tambah Guan Eng lagi.
Hakikat itu lebih terserlah
apabila Arul Kanda sendiri yang sebelum berulang kali mengatakan pelaburan itu
wujud, kini sudah berubah nada dengan berkata tidak pasti mengenainya.
Berkait perkembangan yang sama,
Guan Eng juga memaklumkan mengenai pengesahan bertulis oleh bekas Ketua Pegawai
Kewangan 1MDB, Azmi Tahir kepada Kementerian Kewangan pada Mac lalu bahawa
syarikat itu tidak mampu membayar hutang faedahnya yang mesti dilunaskan
sebelum akhir April dan Mei 2018.
Sehubungan itu, bagi hutang
faedah 1MDB berjumlah RM143 juta yang mesti dibayar pada minggu depan, Guan Eng
mengambil keputusan enggan menandatangani dokumen kebenaran agar Kementerian
Kewangan melangsaikannya.
"Saya terkejut bila
mendapati dokumen pertama yang harus saya tandatangani ialah untuk membayar
hutang 1MDB.
"Saya enggan tandatanganinya
kecuali saya lihat kesemua dokumen yang relevan terlebih dahulu," kata
Guan Eng lagi.
Bagi maksud tersebut, Guan
Eng mengarahkan Arul Kanda menjawab secara bertulis kepada Kementerian
Kewangan terlebih dahulu sama ada 1MDB mampu membayar hutang RM143 juta itu
atau sebaliknya.
Agak-agak apakah jawapan bertulis
Arul Kanda nanti?
Bayangkan, baru dua hari Guan Eng
memasuki pejabatnya sebagai Menteri Kewangan, beliau sudah mendedahkan banyak
"kong kali kong" atau tembelang 1MDB yang selama ini tertutup rapi.
Segala-galanya tidak lain ialah
kerana Najib Razak yang ada kepentingan dalam penubuhan 1MDB adalah Perdana
Menteri dan Menteri Kewangan dalam waktu yang sama.
Selepas ini, pasti lebih banyak
pembongkaran yang lebih mengejutkan lagi akan menjadi tatapan kita semua.
Sejujurnya, kita harus bersyukur
kepada Tuhan atas keberanian rakyat Malaysia melakukan perubahan dengan
menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya 9 Mei lalu.
ABJ: Jika BN masih kekal berkuasa, semua tembelang itu akan terus
tertutup rapi dan kita sebagai rakyat serta pembayar cukai akan ditipu
sepanjang hayat dengan pelakon utamanya ialah Najib sendiri.
Comments
Post a Comment