1MDB SKANDAL KEWANGAN TERBESAR DUNIA
Cerita-cerita 1MDB sejak ianya
bermula pada 2009 yang cebisan-cebisannya kita baca dari masa ke semasa -
disatukan dalam satu laporan yg diterbitkan oleh The Guardian (diterjemahkan ke
BM). Sebuah laporan yang panjang tetapi "eye-opener" yang selama ini
dikekang oleh pihak yang berkuasa sebelum ini*
Pada 22 Jun 2015, Xavier Justo,
bekas pegawai bank Swiss berjalan menuju ke pintu hadapan hotel butik baru
miliknya di Koh Samui, sebuah pulau tropika Thailand. Dia telah menghabiskan
masanya sejak tiga tahun lalu untuk mendirikan kompleks chalet dan apartmen
mewah yang dibina menghadap laut. Justo mahu memulakan operasi hotelnya namun
dia masih belum memiliki lesen.
Lelaki itu telah berada di
Thailand sejak 4 tahun yang lalu, selepas dia meninggalkan dunia perbankan di
London. Pada tahun 2011, dia bersama teman wanitanya, Lauren bermotosikal
mengelilingi negara itu. Dua tahun selepas itu, mereka berdua berkahwin di
sebuah pantai terpencil yang indah. Pasangan itu kemudiannya memilih untuk
tinggal di Koh Samui, lokasi tumpuan pelancong yang terletak tidak jauh dari
bandar Bangkok. Justo cuba menjalankan pelbagai perniagaan dan dia akhirnya
memutuskan untuk memulakan perniagaan perhotelan. Dia membeli sebidang tanah
serta sebuah rumah agam dan kemudian mula membina sebuah gym, beberapa villa
dan sebuah padang tenis di rumah itu.
Pada satu petang di bulan Jun,
Justo sedang menanti kedatangan pihak berkuasa pelancongan untuk menandatangani
kertas kerja berkenaan hotelnya. Sebaliknya, dia dikejutkan dengan kehadiran
pasukan polis Thai yang lengkap bersenjata dan merempuh masuk pintu rumahnya
yang tidak berkunci lalu memberkas Justo dengan serta merta. Pihak polis
menggari Justo dengan menggunakan gari plastik dengan begitu ketat sehingga
pergelangan tangannya berdarah. Anggota polis itu turut masuk ke pejabat Justo,
mencabut komputer dan mengosongkan kabinet-kabinet miliknya.
Setelah Justo meringkuk di dalam
lokap selama dua hari, dia diterbangkan ke Bangkok dan diperlihatkan kepada
pihak media seolah-olah dia adalah seorang ketua mafia. Tampil bersahaja, Justo
masih berseluar pendek dan mengenakan selipar sambil diiringi oleh empat orang
komando yang membawa mesingan. Sementara itu, empat orang pegawai senior polis
Royal Thai menerangkan kepada para wartawan tentang pertuduhan yang dikenakan
terhadap Justo.
Justo didakwa atas cubaan memeras
ugut bekas majikannya, sebuah syarikat minyak di London, PetroSaudi.
Bagaimanapun, di sebalik dakwaan ini, terdapat sebuah kisah yang lebih
menggemparkan.
Enam bulan sebelum tangkapan
dibuat, Justo telah menyerahkan beribu-ribu dokumen serta 227,000 emel daripada
sistem pelayan komputer bekas majikannya, Petrosaudi, kepada seorang jurnalis
bernama Clare Rewcastle Brown. Maklumat tersebut kemudiannya membongkarkan kes
pecah amanah bernilai ratusan juta dollar oleh syarikat pelaburan strategik
milik penuh kerajaan Malaysia yang turut dikenali sebagai 1MDB.
Dokumen-dokumen yang dibocorkan
oleh Justo itu seterusnya telah mencetuskan rangkaian tindak balas yang membuka
kepada siasatan oleh sekurang-kurangnya enam buah negara. Hal ini dilihat
sebagai “kes penyelewengan terbesar” dalam sejarah AS, menurut pandangan
Loretta Lynch, Peguam Negara Amerika Syarikat.
Menurut tindakan undang-undang
yang difailkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ), sekurang-kurangnya
USD3.5 billion telah dicuri dari tabung 1MDB. 1MDB ialah sebuah badan pelaburan
strategik yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak pada
2009. Badan itu ditubuhkan sebagai inisiatif untuk menggalakkan pembangunan
ekonomi negara itu di mana kadar pendapatan mediannya adalah kira-kira RM1500
sebulan. Sebaliknya, DOJ mendakwa dana yang hilang itu terkait dengan mereka
yang mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri Malaysia. Mereka itu juga
dilihat telah berbelanja secara mewah di serata dunia. Jabatan Keadilan AS
turut mendakwa Najib ada menerima wang tunai sebanyak USD681 juta dari 1MDB –
bagaimanapun, beliau menafikan tuduhan itu. Pihak AS juga mendakwa dana
berkenaan turut digunakan untuk membeli sebuah apartmen mewah di Manhattan,
sebuah rumah agam di Los Angeles, lukisan-lukisan Monet, sebuah jet korporat
dan pembiayaan sebuah filem Hollywood.
Jabatan Keadilan AS mengkelaskan
dakwaan penyelewengan itu kepada tiga fasa: Pertama, wang penipuan USD1 billion
di bawah “pelaburan palsu dalam usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi”; kedua,
sejumlah USD1.4 billion yang dijana oleh Goldman Sachs dalam penerbitan bon,
disalahguna dan wang itu disalurkan secara tidak sah kepada syarikat pesisir
Swiss; fasa ketiga pula menjelaskan USD1.3 billion merupakan dana dari Goldman
Sachs dan disalurkan ke sebuah akaun di Singapura.
“Beberapa orang pegawai 1MDB
menggunakan dana awam seolah-olah seperti akaun bank peribadi mereka,” kata
Lynch di dalam satu sidang akhbar. “Para konspirator itu menggubah wang yang
dicuri mereka melalui rantaian transaksi yang kompleks dan beberapa syarikat
cengkerang, yang mempunyai akaun bank di seluruh dunia termasuk Switzerland,
Singapura dan Amerika Syarikat.” PetroSaudi, yang tidak terlibat dalam tindakan
undang-undang As itu, menolak dakwaan oleh AS. Menurut PetroSaudi, dakwaan DOJ
mengenai perampasan aset itu adalah tidak lebih dari “tuduhan tanpa asas”
Najib, yang telah menggunakan
segala kuasanya untuk menepis siasatan yang dilakukan terhadap skandal
ini–beliau menafikan tuduhan itu–namanya tidak disebut dalam dakwaan AS itu, di
mana beliau hanya dirujuk sebagai “Malaysian Official 1”. Namun lelaki yang
memainkan peranan utama dalam skandal ini adalah Jho Low, 29 tahun, merupakan
kenalan kepada anak tiri Najib dan pemuda ini menjadi penasihat kepada Najib.
Beliau dilihat sering berparti bersama Lindsay Lohan dan Paris Hilton–memanggil
pegawai Goldman Sachs dengan panggilan “bro”, menurut DOJ–didakwa oleh Amerika
Syarikat sebagai dalang yang mengepalai pencurian dana USD2 bilion dari 1MDB
yang disalurkan ke akaun-akaun bank di Switzerland, Singapura dan Virgins
Islands. Low menjelaskan bahawa beliau tidak melanggar sebarang undang-undang
dan tidak pernah disiasat.
Teman rapat Low ialah Riza Aziz,
anak tiri Najib. Riza menerbitkan filem The Wolf of Wall Street–filem Martin
Scorsese mengenai korupsi, kemerosotan moral dan ketamakan–nama Riza dan Low
disebut dalam ucapan penghargaan oleh Leonardo DiCaprio semasa pelakon itu
memenangi anugerah Pelakon Terbaik dalam Anugerah Golden Globes. Pada tahun
2011, Low membeli 20% pegangan saham dengan nilai sebanyak USD102 juta di dalam
EMI, sebuah syarikat penerbitan muzik terbesar di dunia–pada tahun sama, beliau
membeli sebuah penthouse mewah bernilai USD30 juta untuk bapanya di Time Warner
Center di Manhattan yang menghadap Central Park. Syarikat penerbitan filem Riza
mengatakan: “Tiada sebarang perkara yang tidak wajar tentang Red Granite
Pictures atau sebarang aktiviti perniagaan Riza.”
Bukan itu sahaja, terdapat
pelbagai dakwaan lain turut disebut di dalam tindakan undang-undang AS itu yang
telah memperincikan sebuah rompakan yang sungguh hebat, yang dilakukan oleh
para konspirator yang menggubah berbilion wang rakyat Malaysia melalui
akaun-akaun luar pesisir dan syarikat cengkerang di kawasan perlindungan cukai
seperti Seychelles dan British Virgin Island. Skala perniagaan itu mengingatkan
kepada kata-kata Balzac, di sebalik kehebatan harta kekayaan pasti ada jenayah
yang hebat juga.
Usaha di peringkat antarabangsa
untuk mendedahkan kehilangan dana berbilion dolar bermula dengan Xavier Justo.
Justo telah membocorkan 90GB data, termasuk 227,000 emel daripada bekas
majikannya iaitu PetroSaudi, sebuah syarikat minyak yang menandatangani perjanjian
pertama bersama 1MDB. (PetroSaudi telah menafikan mereka melakukan sebarang
salah laku) Tanpa dokumen-dokumen tersebut, tiada siapa yang boleh mengambil
tindakan.
Hubungan Justo dengan PetroSaudi
bermula dari hubungan baik Justo dengan salah seorang pemilik syarikat itu,
seorang warga Saudi bernama Tarek Obaid. Dua lelaki ini bertemu pada akhir
90-an, apabila mereka berdua berparti di sebuah kelab malam di Geneva. Pada
tahun 2006, mereka rapat bagai isi dan kuku: Justo berjaya sebagai seorang ahli
perniagaan yang menguruskan firma khidmat kewangan, Fininfor dan merupakan
pemilik kelab malam yang bernama Platinum Club di Geneva. Justo menganggap
Obaid seperti “adiknya” dan pada tahun 2008, Justo memberi pinjaman wang
sebanyak US$30,000 kepada temannya itu serta menawarkan pekerjaan kepadanya di
pejabat Fininfor untuk memulakan operasi PetroSaudi.
Obaid dan Justo merupakan
pasangan yang aneh, mereka menjadi baik kerana berkongsi cita-cita menjadi
kaya. Justo yang merupakan anak lelaki kepada imigran Sepanyol ke Switzerland,
tidak pernah menuntut di universiti. Obaid pula merupakan graduan dari School
of Foreign Service, sebuah sekolah berprestij di Georgetown University.
Abangnya, Nawaf, berkhidmat sebagai penasihat khas kepada duta Saudi ke UK. Pemilik
bersekutu PetroSaudi, Prince Turki bin Abdullah, ialah anak ketujuh kepada King
Abdullah bin Abdulaziz, pemerintah Arab Saudi sejak 2005 hingga tahun
kematiannya pada 2015.
Apabila Justo meninggalkan Geneva
pada tahun 2009, PetroSaudi menjadi sebuah entiti yang beroperasi di London
pada satu alamat dan menjalankan sebuah perniagaan rahsia yang tidak diketahui
berhampiran Victoria. Dua tahun selepas itu, syarikat itu memiliki aset
bernilai USD1.83 bilion.
Urusan perniagaan PetroSaudi
adalah sejenis kapitalisme capaian: mengambil peluang dengan bantuan
rakan-rakan yang berpengaruh. Idea asalnya adalah untuk mendapatkan keuntungan
minyak yang dijana oleh firma-firma milik-negara di negara-negara
membangun–khazanah kekayaan yang akan didapatkan oleh sebuah firma yang menjadi
“sarana keluarga diraja Saudi”, serta mengharapkan “sokongan padu daripada kor
diplomatik kerajaan”. PetroSaudi memberitahu bakal rakan kongsinya bahawa
mereka menguasai telaga minyak di tengah Asia, yang akan digunakan sebagai
cagaran untuk meminjam wang daripada negara-negara pelabur.
Cadangan sebegitu membolehkan
pemilik PetroSaudi dapat mengadakan mesyuarat dengan Perdana Menteri Malaysia
pada Ogos 2009. Mereka menaiki kapal layar mewah berukuran 92m di pinggir
pantai Monaco. Obaid dan Prince Turki menghabiskan masa seharian bersama Najib,
penasihatnya Jho Low dan turut disertai oleh ahli keluarga Perdana Menteri.
Beberapa keping gambar diambil semasa pertemuan itu berlangsung memperlihatkan
suasana santai–bertopi besbol dan berseluar pendek–namun perbincangan mereka
kelihatan serius. Hasil pertemuan itu, Low dan Obaid mula bekerjasama dalam
satu perjanjian yang membolehkan mereka mengawal sejumlah wang yang sangat
besar.
Meskipun Low tidak mempunyai
sebarang jawatan dalam kerajaan Malaysia, beliau dilihat menjadi orang yang
dipercayai oleh Perdana Menteri. Dalam usianya yang masih muda, Low telah
menjadi pemain utama dengan kerjasama Goldman Sachs dalam usahanya untuk
mewujudkan satu dana berdaulat bagi tujuan pelaburan menggunakan hasil
keuntungan minyak Malaysia.
Semasa Najib dan Low menaiki
kapal layar bersama pemilik PetroSaudi, kerajaan Malaysia mengambi alih dana
itu– dan ditukar namanya kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan
diberikan mandat untuk mempromosi pembangunan ekonomi di Malaysia. Badan itu
memiliki dana lebih daripada USD1 billion untuk dibelanjakan. Perdana Menteri
Malaysia, Najib, mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mempersetujui sebarang
operasi pelaburan serta kuasa melantik dan memecat ahli lembaga dan pihak
pengurusan. Low berperanan untuk memperlicinkan transaksi–menurut DOJ, dia
malahan turut menghadiri mesyuarat-mesyuarat 1MDB dan menjadi perantara bagi
Najib.
Perjanjian pertama dana itu
dibuat beberapa minggu selepas pertemuan bersama PetroSaudi berlangsung–sebuah
usaha sama melibatkan USD2.5 billion antara PetroSaudi dan 1MDB ditandatangani
Najib semasa beliau melawat Arab Saudi pada September 2009. Laporan media
melaporkan usaha sama itu akan “melakukan pelaburan strategik dalam projek
berimpak besar” dan “membuktikan keyakinan Arab Saudi terhadap Malaysia”.
Tetapi menurut Jabatan Keadilan
AS, perjanjian itu adalah sekadar “lakonan” untuk “muslihat pemindahan wang
bernilai lebih dari USD1 billion dari akaun 1MDB ke akaun bank di Swiss” yang
berada di bawah kawalan Jho Low–“pemuda berusia 29 tahun yang tidak mempunyai
sebarang jawatan rasmi bersama 1MDB atau PetroSaudi”. PetroSaudi sentiasa
menegaskan bahawa semua dana 1MDB telah dibayar kepada entiti-entiti pemegang
saham syarikat itu.
Urusan perjanjian usaha sama
bernilai berbillion dollar itu berlaku dengan sangat pantas–tidak sampai
sebulan. Tidak lama selepas pertemuan di atas kapal layar itu, pada 28 Ogos
2009, Obaid memperkenalkan Low kepada Patrick Mahony – seorang pengarah
syarikat yang mengendalikan urusan perniagaan PetroSaudi. Berdasarkan dokumen
yang dilihat oleh The Guardian, Low dan Mahony bertemu pada satu sesi makan
tengah hari di New York pada 9 September untuk berbincang mengenai usaha sama
terbabit.
Selepas makan malam di Masa –
sebuah restoran sushi di mana satu menu set berharga USD540 seorang–Mahony
menghantar emel kepada Low sehari selepas pertemuan mereka dengan tawaran:
“Kami tahu terdapat perjanjian yang sedang kamu perhatikan dan kamu mungkin
mahu menggunakan PSI (PetroSaudi)… kami merasa senang hati untuk melakukannya.
Cuma kamu perlu beritahu kami di mana.” PetroSaudi berkata dokumen yang dilihat
oleh The Guardian itu tidak boleh dipakai, dicuri, palsu dan beberapa petikan
dilakukan secara terpilih.
Kurang tiga minggu selepas itu,
perjanjian itu dimeterai. PetroSaudi akan menyumbangkan sebanyak USD1.5 billion
dalam bentuk aset minyak dan gas ke atas usaha sama berkaitan, manakala 1MDB
akan menyuntik wang sebanyak USD1 billion dalam bentuk tunai.
Berdasarkan pemfailan oleh mahkamah
AS, 1MDB memindahkan wang sebanyak USD300 juta ke dalam sebuah akaun usaha sama
milik PetroSaudi. Tetapi, baki sebanyak USD700 juta telah dipindahkan ke akaun
Swiss di RBS Coutts, yang dikendalikan oleh sebuah syarikat cengkerang di bawah
pendaftaran Seychelles bernama Good Star. Jabatan Keadilan AS mengemukakan
tuduhan bahawa Jho Low, bukan PetroSaudi, ialah pemilik benefisial dan juga
merupakan satu-satunya penandatangan yang berkuasa bagi Good Star. Pihak AS
turut mendakwa pegawai-pegawai 1MDB memberi maklumat palsu kepada bank-bank
terlibat tentang isu pemilikan akaun Good Star bertujuan untuk melencongkan
dana USD700 juta itu.
Menerusi dokumen-dokumen yang
diteliti oleh The Guardian, pada 30 September 2009 PetroSaudi telah mengalihkan
wang USD700 juta untuk dimasukkan ke dalam akaun syarikat itu–tetapi tiga hari
kemudian, apabila jabatan pematuhan di RBS Coutss meminta butiran lengkap
mengenai nama akaun benefisial itu, alamat yang diberikan oleh 1MDB adalah
akaun Good Star. Pada hari yang sama, 2 Oktober, Low menghantar emel kepada
Mahony mengatakan “Akan “clear” tidak lama lagi”. PetroSaudi memberitahu The
Guardian: “Tidak ada wang yang dimasukkan di dalam usaha sama dengan 1MDB itu
disalahgunakan atau hilang. Pelaburan ini telah dibayar balik dengan
keuntungan… Kesemua pemindahan wang dari 1MDB telah dibayar dan diluluskan
sepenuhya oleh lembaga pengarah 1MDB.”
Berdasarkan dokumen-dokumen yang
diteliti oleh The Guardian, transaksi Good Star itu telah menjadikan Obaid yang
ketika itu berusia 32 tahun, dan Mahony, pada usia 33, sangat kaya raya. Rekod
menunjukkan pada 30 September 2009, Good Star telah bersetuju membayar USD85
juta kepada Obaid, yang dinyatakan oleh syarikat Seychelles sebagai bayaran
bagi “khidmat broker”. Wang itu dimasukkan kepada Obaid di akaun Swiss JP
Morgan. Pada masa yang sama, emel-emel dan dokumen guaman menunjukkan bahawa
Mahony telah diberi kontrak sebagai “pengurus pelaburan” bagi syarikat Good
Star. Pada 20 Oktober, Obaid menghantar emel kepada penghubungnya di JP Morgan
untuk meminta wang sebanyak USD33 juta dipindahkan ke akaun milik Mahony.
Empat hari selepas itu, Mahony
memulakan perbincangan untuk menubuhkan sebuah syarikat luar pesisir untuk
membeli sebuah rumah bernilai USD6.7 juta di Notting Hills–pada tarikh 12
November, kontrak rumah tersebut telah pun ditukar. Bekas pengurus bank itu
membuat sebuah akaun bank bernombor di Switzerland, dan kesemua pembayaran bagi
pembelian aset hartanah itu dibuat dari akaun ini, menerusi syarikat British
Virgin Islands yang ditubuhkan oleh Mahony.
Bagi menjawab persoalan The
Guardian, PetroSaudi memberitahu pembayaran yang dibuat kepada Obaid bukanlah
upah sebagai broker dan pemindahan wang USD33 juta kepada Mahony tidak ada
kaitan dengan usaha sama PetroSaudi – 1MDB.
Laura dan Xavier Justo langsung
tidak menyedari perubahan kekayaan yang berlaku terhadap rakan mereka, Obaid.
Pasangan terbabit sedang berjemur di laut Andaman di Thailand pada Disember
2009 apabila Obaid menghubungi Justo dan menawarkan jawatan sebagai pengarah di
London bersama Petro Saudi. Dia memberitahu Justo bahawa syarikat itu telah
mencatat kejayaan sekelip mata, bagaimanapun syarikat itu memerlukan bantuannya
untuk lebih maju.
Pada mulanya, Justo menolak
tawaran Obaid namun akhirnya berjaya dipujuk dengan janji-janji yang mewah.
Menurut Justo, Obaid berjanji untuk memberinya gaji berjumlah £400,000, “jutaan
bonus” dan manfaat seperti kondo di Mayfair, Central London yang nilai sewanya
£10,000 seminggu. Justo pergi ke London pada musim bunga 2010 dan menjadi
pengarah PetroSaudi pada bulan Jun. Walaupun demikian, Justo tidak mencampuri
urusan perniagaan di Asia. Sebaliknya, pengarah baru itu diberi tugasan
melancarkan satu operasi baru di Venezuela. Pada tahun 2011, dia banyak
menghabiskan banyak masanya berulang-alik di antara London dan Caracas.
Di antara September 2010 dan Mei
2011, 1MDB bersetuju meminjamkan tambahan dana USD830 juta sebagai usaha sama
dengan PetroSaudi–menjadikan jumlah pelaburan 1MDB meningkat kepada USD1.83
billion. Berkenaan pembayaran itu, pihak AS mendakwa pembayaran sebanyak USD330
juta telah dimasukkan ke dalam akaun Swiss yang menurut mereka oleh Jho Low
berdasarkan permintaan Obaid–di dalam aduan undang-undang AS itu, disebut
sebagai “CEO PetroSaudi”.
Salinan emel dan rekod-rekod bank
yang diteliti oleh The Guardian mendapati dalam tempoh sembilan bulan bermula
September 2010, Obaid telah memindahkan $77 juta dari akaun Swiss JP Morgan
miliknya ke akaun rakan pemilik PetroSaudi, Prince Turki Abdullah. Menurut
pihak berkuasa AS, rekod bank menunjukkan, pada musim bunga 2011, Prince Turki
juga ada menerima wang sebanyak USD24 juta dari akaun bank Good Star yang
dikawal oleh Jho Low–dan beberapa hari seterusnya, USD20 juta dari dana itu
dipindahkan ke dalam akaun yang dimiliki oleh Perdana Menteri Malaysia, Najib.
Sementara itu, Jho Low semakin
dikenali dalam dunia kelab-kelab malam di New York sebagai perunding untuk
jutawan global–jurugambar merakam gambar Low meneguk Champagne bersama penyanyi
R&B dan bintang popular Hollywood. Menurut pihak AS, Low membelanjakan
USD100 juta dari transaksi usaha sama itu untuk membeli hartanah di Hollywood dan
USD40 juta untuk membeli beberapa apartmen di New York. Pihak AS juga mendakwa
dana yang digunakan untuk membiayai filem The Wolf of Wall Streets dapat
dikesan secara langsung adalah wang berbillion dollar yang datang daripada
akaun PetroSaudi.
Pada masa yang sama, Justo
semakin tidak selesa bekerja dengan PetroSaudi. Menurut isterinya Laura,
suaminya tidak gembira setelah mendapati dia cuma menerima separuh daripada
jumlah gaji yang dijanjikan Obaid–keadaan semakin buruk apabila Justo
mengetahui bonus bernilai jutaan pound yang dijanjikan buatnya itu tidak
ditunaikan–sekadar enam angka dan bukan tujuh.
Selain itu, beberapa hal lain
turut merunsingkan Justo. Dia mengadu kepada isterinya bahawa gajinya sering
dibayar lewat, kadang kala dia tidak dibayar langsung. Tambahan pula, Justo
perlu membayar sendiri sewa kondo yang sepatutnya ditanggung oleh majikannya.
Pada mulanya, Justo menganggap
masalah ini sebagai kesilapan kecil– tiada sebarang unsur khianat dan cuma
berlaku akibat kelemahan sistem kira-kira. Namun, Justo semakin berang dengan
sikap Obaid. Justo memberitahu kepada rakan-rakannya bahawa Obaid semakin
bongkak selepas dia menjadi kaya raya. Justo turut terganggu seperti mana yang
digambarkannya tentang perubahan drastik rakan lamanya itu–dia memberitahu
orang lain tentang perubahan sifat Obaid yang semakin tidak rasional dan sering
naik angin.
Hubungan persahabatan antara
Justo dan Obaid semakin tegang dan akhirnya terputus selepas 12 bulan mereka
bekerjasama dalam dunia korporat. Pada hujung tahun 2010, Justo tidak hadir
dalam satu mesyuarat penting kerana dia terlepas penerbangan. Justo meminta
maaf kepada Obaid namun rakannya itu ‘mengamuk” dan mula menghantar emel dan
mesej ugutan.
Risau keadaan bertambah buruk,
Justo mengambil keputusan untuk berhenti kerja pada Mac 2011. Obaid yang berang
seterusnya menghantar emel dan menggelar Justo sebagai “sombong” dan “menunjuk
pandai”. Pada bulan April, satu kata putus dibuat di Mayfair. Mahony dan Justo
bertemu di bar Hotel Connaught dan mereka mencari penyelesaian untuk
pemberhentiannya. Menurut Justo, Mahony bersetuju untuk membayar 6.5 juta Swiss
franc sebagai pampasan peletakan jawatannya. Bagaimanapun, perbincangan panas
mereka itu diganggu dengan panggilan telefon dari Obaid. Obaid memberitahu Mahony
agar memberi 5 juta Swiss franc sahaja kepada Justo, setelah Justo
bersungguh-sungguh merayu kepada Mahony sehingga dia mengalirkan air mata.
Sehari selepas itu, Justo mendakwa dia diberitahu bahawa dia hanya akan
menerima sebanyak 4 juta Swiss franc sahaja.
Justo menyimpan dendamnya, dan
dia mengambil salinan data dari rangkaian pelayan komputer PetroSaudi. Pada
September 2013, dua tahun selepas dia meninggalkan PetroSaudi, Justo menghantar
sebuah emel kepada Mahony. Justo meminta bayaran seperti yang telah dijanjikan
terdahulu, dengan amaran bahawa dia memiliki fail berisi pelbagai maklumat
tentang PetroSaudi. “Secara rasminya kelihatan yang indah-indah tetapi
realitinya penuh dengan komisen, komisen dan komisen,” tulis Justo.
Di dalam beberapa balasan emel
seterusnya, Mahony mendakwa Justo memeras ugutnya. Mahony memberi amaran kepada
bekas rakan sekerjanya itu: “Apa yang merunsingkan aku ialah bagaimana aku
melihat semua ini akan berakhir–iaitu kau akan musnah.”
Beberapa bulan selepas itu,
semasa menikmati makanan Cina di London, seorang jurnalis yang pertama
mendedahkan tentang skandal 1MDB mendengar khabar angin tentang pencurian yang
dahsyat di Malaysia. Clare Rewcastle Brown menemui seorang individu di sebuah
restoran di Bayswater. Individu itu menunjukkan tangkapan skrin dokumen dalaman
daripada PetroSaudi: pada satu halaman bercetak, terdapat beberapa sorotan
tentang urusan PetroSaudi dan 1MDB, di bawah tajuk “Beribu-ribu dokumen
berkaitan dengan urusan itu (emel, faks dan transkrip)”. Brown mengenali
nama-nama pihak terlibat dan urus janji terbabit. Wanita itu amat terkejut.
“Seperti ada bom meletus dalam kepada saya,” ujar Brown semasa mengimbas
peristiwa itu. Serta-merta dia tahu bahawa ini adalah kisah yang menggemparkan.
Rewcastle Brown ialah pemberontak
Inggeris yang klasik di tengah-tengah pusat kekuasaan. Beliau dilahirkan di
kepulauan Borneo–yang merupakan sebahagian daripada Malaysia–ketika negara itu
masih di bawah empayar British, di mana bapanya ialah seorang polis kolonial
dan juga menjadi ketua perkhidmatan risikan tempatan. Abang iparnya, Gordon
Brown ialah bekas perdana menteri British. Selepas bekerja bersama BBC, pada
2010, wanita itu menubuhkan Sarawak Report, sebuah laman web yang didedikasikan
untuk mendedahkan aktiviti korupsi yang berlaku di tanah kelahirannya.
Bekerja dari dapur kecil di
rumahnya yang terletak di tengah kota London, Brown menerbitkan satu demi satu
laporan yang mendedahkan korupsi yang berlaku dalam industri pembalakan dan
minyak di Malaysia yang merosakkan tanah dan hutan negara demi mengaut
keuntungan. Emel jurnalis itu diceroboh dan dia menerima ugutan bunuh.
Bagaimanapun, wanita itu tetap bertahan dan meneruskan usahanya. Pada awal
2013, ahli politik Malaysia melabel beliau sebagai “musuh negara”. Tidak
gentar, Brown menganggap jolokan itu sebagai pujian buatnya. Dari dekat wanita
ini menunjukkan campuran sifat melulu dan juga berani, atau hampir-hampir
sembrono. Motonya adalah: “Saya hanya mahu mendapatkan berita.”
Sejurus perjumpaan di Bayswater,
Rewcastle Brown nekad mahu mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan 1MDB. Halangan
pertamanya ialah wang kerana sumber pemberi maklumat dari PetroSaudi meminta
wang berjuta sebagai bayaran untuk maklumat terbabit.
Cabaran lain dihadapinya ialah
tiada jurnalis lain dari Malaysia yang mahu menyentuh isu itu. Di Malaysia,
Perdana Menteri, Najib Razak baru memenangi pilihanraya yang sengit dan beliau
mempunyai kuasa dan pengaruh hebat. Khabar angin mula tersebar mengenai
kewujudan dokumen-dokumen disembunyikan oleh PetroSaudi – ada yang mendakwa
mafia Russia menjadi dalang di sebalik pemindahan data itu. Selain itu, ada
yang membuat spekulasi bahawa semua ini adalah perangkap semata-mata dan
dirancang oleh perdana menteri untuk menjerat para pengkritiknya.
Tidak berputus asa, Rewcastle
Brown mengatur pertemuan dengan perantaranya untuk berjumpa dengan sumber
maklumatnya di Thailand. Pada Oktober 2014, Brown menuju ke lobi Hotel Plaza
Athénée di Bangkok. Dia memberitahu suaminya dia bakal bertemu dengan “lelaki
Swiss yang botak dan memakai cermin mata”. Sebaliknya, Xavier Justo yang muncul
di foyer hotel – bertubuh sasa dengan ketinggian 6 kaki 6 inci. Rewcastle Brown
akhirnya bertemu dengan “lelaki yang berfizikal tegap dan elegan”. “Oh Tuhan,” katanya.
“Lelaki ini boleh membelasah aku”
Justo mengakui dirinya turut
risau seperti Brown. Menurut Rewcastle Brown, Justo kelihatan “sangat gugup”
dan berulang kali mengingatkannya “kita berhadapan dengan orang-orang yang
tiada berhati perut, mempunyai wang yang banyak dan sangat-sangat berkuasa –
mereka boleh mengapa-apakan kita sesuka hati”.
Justo memberitahu Brown dia
mahukan USD2 juta bagi pertukaran maklumat dokumen PetroSaudi-1MDB. Tambahnya
lagi, jumlah itu adalah wang yang sepatutnya dia perolehi apabila dia
meninggalkan PetroSaudi.
Walaupun Justo berkongsi beberapa
maklumat semasa pertemuan itu, dia nekad: jika tiada wang tunai, maka tiada
data untuk dikongsikan. Rewcastle Brown perlu mencari individu berharta yang
mampu membayar sejumlah wang agar dia mendapat dokumen-dokumen itu.
Pada masa itu, konflik tentang
1MDB telah mula mendapat perhatian dan tersebar luas di Malaysia. Analisis
kewangan menunjukkan bahawa dana tersebut gagal menjana wang yang cukup untuk
membayar faedah bagi hutang bernilai berbillion dollar yang ditanggung badan
itu. Ratusan juta yang telah dibelanjakan pada karya seni, barang kemas,
hartanah, perjudian dan parti tidak memulangkan semula wang “pelaburan”. Pada
2014, pihak pembangkang mencemuh Najib dengan tuduhan dana kekayaan itu
sepatutnya diberi nama baharu “1Malaysia Debts of Billions”.
Pada Ogos 2014, Najib menerima
satu lagi tamparan. Mahathir Mohamad, tokoh politik dan bapa kemodenan Malaysia
yang berkhidmat sebagai perdana menteri dari 1981 sehingga 2003 mengumumkan
bahawa beliau tidak lagi memberi sokongan kepada Najib, bekas anak didiknya
itu. Selang beberapa minggu kemudian, Mahathir semakin lantang dalam mengkritik
Najib. Beliau juga memberi amaran bahawa 1MDB akan mengakibatkan pertambahan
kadar hutang Malaysia yang amat tinggi dan membahayakan.
Amaran bekas perdana menteri itu
tidak diendahkan. Hutang dana itu semakin meningkat. Pada November 2014, 1MDB
berhutang sebanyak USD11 billion. Najib yang mempengerusikan badan pelaburan
itu, tampil bersahaja, dan memaklumkan kepada agensi berita negara bahawa pihak
kerajaan tidak bertanggungjawab sekiranya 1MDB bankrup.
Krisis menjadi bertambah rumit
namun Rewcastle Brown tetap meneruskan pencariannya bagi mendapatkan individu
yang sanggup membayar Justo untuk mendapatkan dokumen-dokumen PetroSaudi-1MDB.
Jurnalis itu mengenalpasti penerbitan The Edge, kumpulan media yang kerap
melaporkan berita tentang skandal yang sedang berlaku di Malaysia itu. Brown
merasakan bahawa dia telah menjumpai rakan sekutu yang berkemampuan lalu
menghubungi pemilik the Edge, Tong Kooi Ong, seorang bekas ahli perbankan yang
kini menjadi seorang hartawan dan memiliki syarikat dan kumpulan media.
Pada Januari 2015, Tong, Brown
dan Justo menghadiri satu perjumpaan di sebuah hotel lima bintang, the
Fullerton, Singapura. Tong menyewa sebuah bilik persidangan dan beberapa pakar
IT turut menyertai mereka serta tidak ketinggalan, ketua editor the Edge, Kay
At. Mesyuarat menyaksikan Justo menerangkan usaha sama yang dijalankan oleh
1MDB serta membuat kenyataan sama seperti yang dibuat oleh Jabatan Keadilan AS
selepas 18 bulan pertemuan itu berlangsung: Wang pelaburan bernilai ratusan
juta dollar yang sepatutnya diguna bagi tujuan pembangunan ekonomi di Malaysia
telah disalurkan ke sebuah syarikat yang diasaskan di Seychelles. Dalang yang
didakwa melakukan transaksi itu adalah Jho Low, yang juga merupakan penasihat
dan kenalan kepada Najib.
Pendedahan besar ini sungguh
bernilai. Oleh itu, Tong bersetuju untuk membayar USD2 juta kepada Justo. Justo
akhirnya menyerahkan pemacu cakera berisi data itu kepada Tong dan Brown dengan
serta merta. Namun, pembayaran wang dengan jumlah sebesar itu belum dibuat.
Justo tidak mahu menerima wang tunai dan dia risau sekiranya pemindahan wang
besar ke dalam akaunnya akan mendatangkan curiga. Tong menawarkan salah satu
lukisan Monet miliknya sebagai cagaran – Justo tidak bersetuju dan berkata
“tidak mengapa, saya percaya kepada kamu”. Rewcastle akhirnya berjaya
mendapatkan segala dokumen yang diidam-idamkan sejak enam bulan lalu.
Pada 28 Februari 2015, Brown
menerbitkan kisah gempar itu di laman webnya dengan tajuk yang menarik
perhatian: “Rompakan Terbesar Abad Ini!” Artikel itu melaporkan susunan
peristiwa bagaimana wang USD700 juta boleh lesap dari tabung 1MDB dan bagaimana
wang itu dipindahkan ke pelbagai akaun syarikat asing dan bank Swiss.
Artikel Brown itu memberi impak
ke seluruh dunia. Persoalan sumber kekayaan dan perbelanjaan mewah Low bagi
apartmen-apartmen di New York kini hampir terjawab apabila pihak penguasa
undang-undang di US mendapat pendedahan daripada artikel ditulis Brown.
Ketika membuat kajian tentang
cerita itu, Rewcastle Brown berkerjasama dengan Sunday Times yang membantu
untuk merungkai maklumat yang diberi oleh Justo. Akhbar itu seterusnya
mengadakan sesi temu bual bersama bekas perdana menteri Malaysia, Mahathir.
Mantan perdana menteri itu mengarahkan penyiasatan dan audit sepenuhnya
dilakukan secara serta merta. “Seseorang pasti melakukan tindakan bodoh
sehingga USD700 juta dilepaskan tanpa sebarang sebab yang kukuh,” ujar
Mahathir.
Respons pantas diterima dari
Malaysia. Pada 1 Mac 2015, pihak pengurusan 1MDB mendakwa mereka telah menarik
diri dari usaha sama itu pada tahun 2012. 1MDB juga telah menerima balik semua
dana pelaburan dan tambahan keuntungan sebanyak USD488 juta. PetroSaudi
mendakwa USD700 juta telah dipindahkan ke “entiti dimiliki PetroSaudi” – dalam
kata lain, membidas bahawa syarikat yang dikawal oleh Jho Low pernah menerima
bayaran dalam perjanjian tersebut.
Tidak lama sebelum Rewcastle
membocorkan maklumat diperolehinya, bon 1MDB telah mula merosot dengan teruk.
Selepas dana £200 juta digunakan kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan masalah
kewangan 1MDB, Najib akhirnya akur dengan arahan penyiasatan dilakukan oleh
ketua audit negara dan jawatankuasa kira-kira wang negara. Tidak lama selepas
penyiasatan bermula, bank negara dan suruhanjaya pencegahan rasuah turut melakukan
siasatan. Selain itu, ketua polis negara dilaporkan membuat kenyataan bahawa
perdana menteri mungkin bakal disoal siasat.
Najib seterusnya memperkukuh
kedudukannya. Beliau memiliki kuasa besar sebagai seorang perdana menteri
merangkap menteri kewangan: pada bulan April, pihak kerajaan mula mengharamkan
dan mengenakan penalti dan menafikan hak kebebasan bersuara, terutamanya
melalui media sosial. Lima eksekutif dari Kumpulan Media The Edge milik Tong –
yang menerbitkan laporan terperinci mengenai perjanjian bersama PetroSaudi –
ditahan di bawah akta hasutan. Kerajaan turut memperkenal undang-undang baru,
yang hanya kononnya akan mensasarkan kepada pengganas, seterusnya membenarkan
suspek ditahan serta merta. Pada Julai 2015, portal berita the Edge pula
diharamkan.
Skandal yang semakin mendapat
liputan meluas tidak menggoyahkan Perdana Menteri, Najib. Pada 2 Julai,
Rewcastle Brown dan Wall Street Journal melaporkan penyiasatan yang dijalankan
oleh kerajaan Malaysia menemukan USD681 juta telah dimasukkan ke dalam akaun
peribadi Najib pada 2013 melalui bank-bank, agensi dan syarikat yang mempunyai
kaitan dengan 1MDB. Selang beberapa hari, pejabat 1MDB diserbu oleh penyiasat
berkaitan.
Najib kini menjadi sasaran
korupsi berkaitan tuduhan kehilangan berbillion wang dari dana badan pelaburan
yang dipegangnya. Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang dahulunya
menyokong kepimpinan Najib, telah menyoal Najib secara terbuka tentang isu dana
yang hilang. Najib kian tersepit.
Pada pagi Isnin, 28 Julai, peguam
negara, Abdul Gani Patail–seorang loyalis parti yang dahulunya beliau sering
menentang pihak pembangkang perdana menteri itu–tiba di pejabatnya untuk
menyiapkan pendakwaan mahkamah tentang tuduhan korupsi yang dikenakan ke atas
Najib. Kertas pendakwaan itu kemudiannya diperoleh dan diterbitkan oleh
Rewcastle Brown, sepatutnya akan digunakan untuk mendakwa perdana menteri atas
korupsi hasil daripada siasatan yang dijalankan ke atas 1MDB.
Peguam negara tidak sempat
membuat pertuduhan itu. Setiba di pejabatnya, Abdul Gani dilucutkan dari
jawatannya. Dalam satu kenyataan, Najib menjelaskan peguam negara itu
ditamatkan perkhidmatannya atas sebab kesihatan. Selain itu, beberapa individu
turut digugurkan jawatannya, iaitu ketua bahagian cawangan khas dan timbalan
perdana menteri. Sementara itu, empat ahli jawatankuasa kira-kira negara pula
dinaikkan pangkat ke jawatan di kabinet. Mereka tiada pilihan serta tidak boleh
meneruskan siasatan yang telah mereka jalankan. Lebih buruk, segala siasatan
jawatankuasa itu diisytiharkan digantung. Keesokan harinya, satu kebakaran
misteri berlaku di ibu pejabat polis, di mana rekod-rekod jenayah kolar putih
itu disimpan.
Sekali lagi Najib berjaya
mengawal keadaan.
Tindakan tegas yang dibuat Najib
menyerlahkan sifat Najib yang tiada belas kasihan. Bagaimanapun, skandal ini
masih boleh dirungkai oleh Xavier Justo. Justo bukan sahaja membocorkan
maklumat tentang perjanjian IMDB dengan PetroSaudi. Malahan, lelaki itu
berpotensi menjadi saksi utama dalam pembicaraan mahkamah melibatkan skandal
kewangan itu di masa depan.
Sejurus Justo ditahan atas
dakwaan peras ugut, dia diterbangkan ke Bangkok pada Jun 2015 dan diletakkan
bersama 70 banduan lain. Lantai penjara itu berbau hancing dan ruangan sempit
menyebabkan para banduan tidak dapat tidur dengan selesa. Menurut Laura, isteri
kepada Justo, pelawat pertama yang mengunjungi suaminya ialah bekas rakan
sekerjanya dan pengarah PetroSaudi, Patrick Mahony. Mahony kelihatan tenang dan
bersahaja dan dengan tersenyum memberitahu Justo dia datang untuk membantu.
Laura berkata Mahony menawarkan
perjanjian dengan Justo: “mengaku salah dan PetroSaudi akan membawa kau keluar
dari sini pada hujung tahun nanti”. Justo menerima tawaran itu dengan berat
hati. Dia menandatangani surat pengakuan – tanpa kehadiran peguam – menyatakan
bahawa dia telah membuat cubaan memeras ugut bekas majikannya dan meminta maaf
kepada Mahony dan Obaid “atas tekanan dan kegelisahan mereka yang berpunca
daripada saya”. Laura menambah, seorang individu yang mengaku sebagai detektif
Scotland Yard, memberitahu kepada Laura bahawa dia diupah oleh PetroSaudi,
telah mengambil pengakuan Justo. (PetroSaudi memberitahu the Guardian, Justo
telah “memperoleh dokumen sulit secara haram” dan berada di dalam penjara
kerana “memeras ugut”.)
Justo dibicarakan pada 17 Ogos
2015 di Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok. Semasa pembicaraan berlangsung, Justo
dibantu oleh penterjemah namun peguamnya tidak hadir dan diganti oleh
pembantunya. Sesi pembicaraan berlangsung selama 15 minit. Justo menerima
hukuman penjara 3 tahun kerana cubaan memeras ugut sebuah syarikat US dan
meminta USD2 juta sebagai pampasan.
Kehidupan Justo di balik tirai
besi di penjara Klong Prem Central bukanlah mudah. Terletak di bandar yang
bersuhu tidak pernah rendah dari 26 darjah, Justo berkongsi sel “VIP”-nya
bersama 25 banduan lain. Sarapan pada 7 pagi. Air dicatu. Para banduan tidak
mendapat makanan selepas jam melewati angka 3 petang, Terdapat sebuah bilik air
di belakang sel, cuma ada satu paip dan sebuah lubang di lantai sebagai tandas.
Tahun 2015 berlalu dan tiada
tanda-tanda suaminya akan bebas dari tahanan pada akhir tahun. Laura semakin
curiga dengan pengantaranya di PetroSaudi. Laporan berita di dada akhbar Swiss
dan Malaysia yang melaporkan kisah Justo menggambarkan suaminya itu sebagai
boneka dalam plot politik menentang perdana menteri Malaysia. Nasib tidak
berpihak kepada Justo dan kehidupannya semakin terseksa. Justo tidur beralaskan
selimut nipis di selnya – tilamnya telah dirampas beberapa bulan selepas dia
menghuni penjara itu, waktu senamannya juga tiada.
Laura yakin suaminya menjadi
mangsa penipuan bekas rakannya yang memperdaya Justo sehingga dia mengaku salah
dan menyerahkan salinan menghubungkan PetroSaudi dalam cubaan untuk melindungi
diri mereka dan rakan sekutu dari Malaysia untuk menutup kes ini. Pada Mei
2016, dalam usaha terakhirnya untuk menyelamatkan suami tercinta, Laura
mendapatkan seseorang yang dipercayai Justo: Rewcastle Brown, seterusnya
membawa Laura kepada the Guardian.
Semasa saya bertemu Laura pada
Jun 2016, dia kelihatan tenang dan tidak banyak cakap. Namun suaranya berubah
dan beremosi apabila dia mula bercerita mengenai suaminya sehingga dia
mengalirkan air mata. Justo tidak berjumpa anak lelakinya sejak dia berusia 8
bulan. “Saya cuma mahu keadilan ditegakkan,” ujar Laura menerusi emel. “Xavier
bukan seorang pencuri. Dia cuma menuntut haknya seperti yang telah dijanjikan.
Mungkin ini adalah masa terburuk dalam hidupnya namun dia akan terus kuat dan
tabah demi saya dan anak kami – Justo akan terus berjuang untuk kami walau apa
pun yang berlaku.”
Sejak perkenalannya dengan
Rewcastle Brown dan the Guardian, Laura sering menyerahkan nota-nota yang dia
seludup keluar dari penjara. Justo mengakui bahawa dia telah ditipu. Laura
percaya Patrick Mahony dari PetroSaudi telah mengawal kehidupan Justo di
sebalik tirai besi, memikirkan betapa selesanya ruang yang didiami suaminya,
serta siapakah yang akan datang melawatnya. (Terdapat senarai nama yang diberi
kebenaran melawat ditampal di dinding penjara itu. Mahony tersenarai di senarai
yang kedua manakala Laura di senarai kelima.)
Laura memberitahu dia memiliki
emel-emel dan mesej dari Whatsapp serta rakaman panggilan telefon dari tahun
lepas yang menunjukkan Mahony menerima tekanan dari Najib. Selain itu, Mahony
juga ditekan oleh para penyiasat dari AS dan Swiss yang cuba merungkai
perjanjian 1MDB. Menerusi pita perbualan telefon bersama Laura, Mahony
kedengaran obses dengan Rewcastle Brown, dan dia menggelar wanita itu sebagai
“betina tidak berguna”. Dalam satu rakaman perbualan antara Laura dan Mahony
dari November 2015, Mahony secara tidak langsung merujuk kepada seorang
individu yang menurutnya mampu meringankan hukuman Justo; “Saya telah beritahu
kamu, siapa yang sebenarnya mengatur semua ini. Tidak lama lagi saya akan
bertemunya dalam satu mesyuarat…Lelaki ini masih tertekan kerana kerjaya
politiknya sedang dipertaruhkan. Dia sedang menghadapi masalah besar dan itu
yang paling utama.”
Apabila Laura bertanya apakah
yang patut dia sampaikan kepada Justo, Mahony berkata: “Satu-satunya cara untuk
membantu suami kamu–sertai permainan ini–dedahkan diri kamu kepada media
apabila sudah bersedia. Kamu sudah siap untuk mengecam semua individu yang
berkonspirasi ke atas Justo… Aku tidak tipu… Sama ada kamu memperbaiki situasi
atau tidak membantu langsung.”
Apabila Laura menuntut pembebasan
Justo, Mahony meradang. “Aku masih berhadapan dengan kesukaran ini setiap hari.
Harus diingat bahawa kita semua terbabit dalam masalah ini. Ya Justo sedang
meringkuk di dalam penjara dan kamu keseorangan bersama bayimu. Aku memahami
situasi kamu tetapi aku juga terpalit dalam kancah ini dan ramai lagi orang
yang sama-sama terlibat. Seorang perdana menteri sedang berhadapan masalah
besar kerana dia turut terlibat dalam masalah ini.”
Menjelang Disember, melalui satu
panggilan telefon lain, Mahony mengaku dia telah pergi ke US dan “pihak FBI
sedang meneliti skandal ini”. Mahony turut dipanggil ke pejabat peguam negara
Swiss. “Pihak Swiss terus membawa masalah kepada kita… Mereka tidak memiliki
sebarang maklumat… Mereka tidak mahu berdiam diri dan dituduh tidak melakukan
apa-apa tindakan.” PetroSaudi berkata mereka akan bekerjasama dengan mana-mana
pihak berkuasa rasmi dalam sebarang bidang kuasa dan buat masa ini ia tidak
disiasat oleh mana-mana bidang kuasa. Mahony juga tidak pernah disoal siasat
oleh pihak pegawai US mahupun Swiss.
Pendedahan maklumat oleh Justo
masih menjadi bualan hangat seantero dunia. Apabila Jabatan Keadilan AS
membentangkan kes menentang 1MDB tempoh hari, mereka langsung tidak
teragak-agak. “Rakyat Malaysia ditipu dalam skala yang amat besar,” kata Andrew
McCabe, timbalan pengarah FBI. Pegawai-pagawai US memberitahu the Guardian
mana-mana pihak yang ingin mempersoal dakwaan peguam negara mestilah memfailkan
maklum balas kepada mahkamah persekutuan dalam tempoh 60 hari bagi menjawab
tuduhan fakta yang telah diusulkan.
Dalam kes berasingan, DOJ turut
menyiasat sama ada Goldman Sachs melanggar undang-undang perbankan AS dalam
menangani tawaran bon bernilai USD6.5 billion yang dijalankan bersama 1MDB.
Organisasi gergasi The Wall Street itu memperoleh USD593 juta kerana isu ini
yang berlarutan. Goldman Sachs menafikan penglibatan mereka dalam perbuatan
yang melanggar undang-undang itu. Bank itu memberitahu kepada the Guardian
“Kami cuba menjana wang bagi dana kekayaan negara yang sepatutnya diguna untuk
tujuan pelaburan di Malaysia. Kami tidak mampu mengesan jika sebahagian dana
itu telah dipindahkan atau diguna bagi tujuan lain.”
Apa yang lebih penting, dakwaan
yang dibuat DOJ amat bercanggah dengan kenyataan yang diberikan Perdana Menteri
Najib tentang asal usul dan mengapa wang ratusan juta itu berada dalam akaun
peribadi miliknya – Najib mendakwa wang itu adalah derma yang diberi oleh
penderma dari Arab Saudi.
Pemfailan DOJ dibuat semasa
demokrasi di Malaysia berada dalam situasi genting. Pada 1 Ogos, undang-undang
keras diperkenalkan Najib mulai berkuatkuasa–membenarkan kerajaan Malaysia
untuk mewujudkan undang-undang anti keganasan. Undang-undang yang diwujudkan
itu secara tidak langsung memperkukuh kuasa badan pertahanan
Malaysia–membenarkan penahanan, penggeledahan dan serbuan dibuat tanpa waran
serta meroboh bangunan.
Sementara itu di bahagian lain,
penyiasatan tentang skandal korupsi semakin giat dijalankan. Di Switzerland,
Jabatan Keadilan AS mengenal pasti RBS Coutts dan Rothschild Bank sebagai
saluran bagi transaksi wang seperti mana yang didakwa. Peguam Negara Swiss
menyiasat pencurian yang melibatkan berbillion dollar itu. The Guardian
bagaimanapun gagal mendapatkan penjelasan dari bank-bank tersebut selepas
mereka dihubungi.
Singapura menemui “lompong dan
beberapa kelemahan” dalam kawalan penggubahan wang haram di kebanyakan bank.
Buat pertama kali dalam sejarah negara itu, pihak berkuasa telah menghentikan
operasi sebuah bank perdagangan. Pada bulan April, Emeriah Arab Bersatu
membekukan ratusan juta dollar dalam akaun yang dimiliki oleh mereka yang
terbabit dalam skandal 1MDB dan melarang pemegang akaun itu dari meninggalkan
negara.
Pihak lembaga 1MDB berkata “kami
yakin tiada salah laku atau jenayah yang berlaku” namun sebagai “langkah
berjaga-jaga”, akaun badan pelaburan itu pada 2013 dan 2014 tidak lagi boleh
“bergantung dengan mana-mana pihak”. Najib menjelaskan beliau tidak melakukan
“sebarang kesalahan atau menyeleweng”. Peguam Negara Malaysia seterusnya
membebaskan Najib dari tuduhan melibatkan skandal korupsi itu pada awal tahun
lalu.
Buat masa sekarang, individu yang
boleh mendedahkan perkara sebenar dalam skandal rompakan ini sedang meringkuk
di dalam penjara di Bangkok. Xavier Justo didesak oleh moraliti dan juga
pembalasan dendam – dia ingin menuntut keadilan dari rakan yang
mengkhianatinya. Untuk mendapatkan hal itu, dia memilih untuk mendedahkan hal
sebenar. Nama Justo mungkin tidak akan dicatat dalam sejarah sebagai wira, yang
tidak mementingkan diri lalu mendedahkan kebenaran. Tetapi apa yang telah
dilakukannya itu, secara tidak sengaja adalah satu pengorbanan.
ABJ: Laporan ini telah terbit di
akhbar The Guardian dan diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Maisarah Akbal.
ReplyDeleteSaya telah berpikir bahwa semua perusahaan pinjaman online curang sampai saya bertemu dengan perusahaan pinjaman Suzan yang meminjamkan uang tanpa membayar lebih dulu.
Nama saya Amisha, saya ingin menggunakan media ini untuk memperingatkan orang-orang yang mencari pinjaman internet di Asia dan di seluruh dunia untuk berhati-hati, karena mereka menipu dan meminjamkan pinjaman palsu di internet.
Saya ingin membagikan kesaksian saya tentang bagaimana seorang teman membawa saya ke pemberi pinjaman asli, setelah itu saya scammed oleh beberapa kreditor di internet. Saya hampir kehilangan harapan sampai saya bertemu kreditur terpercaya ini bernama perusahaan Suzan investment. Perusahaan suzan meminjamkan pinjaman tanpa jaminan sebesar 600 juta rupiah (Rp600.000.000) dalam waktu kurang dari 48 jam tanpa tekanan.
Saya sangat terkejut dan senang menerima pinjaman saya. Saya berjanji bahwa saya akan berbagi kabar baik sehingga orang bisa mendapatkan pinjaman mudah tanpa stres. Jadi jika Anda memerlukan pinjaman, hubungi mereka melalui email: (Suzaninvestment@gmail.com) Anda tidak akan kecewa mendapatkan pinjaman jika memenuhi persyaratan.
Anda juga bisa menghubungi saya: (Ammisha1213@gmail.com) jika Anda memerlukan bantuan atau informasi lebih lanjut