5 SKANDAL MINDEF WAJIB SIASAT
Pelantikan Mohamad Sabu sebagai
Menteri Pertahanan yang baru adalah satu perkembangan yang baik dalam demokrasi
negara ini.
Beliau yang mesra dikenali
sebagai Mat Sabu amat lantang mempersoalkan salah laku dan pembaziran wang yang
berlaku semasa era Umno-BN sebelum ini.
Sudah pasti, amalan pembaziran
wang dan salah guna kuasa dalam tadbir urus sebelum ini perlulah diberikan
siasatan penuh agar dapat dibentuk polisi pengurusan baru di dalam Kementerian
Pertahanan (Mindef).
Skandal RIV
Menteri Pertahanan perlu membuka
kembali fail siasatan kes pembelian beberapa unit Rapid Intervention Vehicle
(RIV) yang pernah mendapat perhatian Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan
Iskandar yang telah membuat teguran berkenaan harga yang terlalu mahal.
Dilaporkan bahawa harganya adalah
RM690,000.00 seunit sedangkan baginda Sultan pernah membelinya dengan harga
RM150,000.00 sahaja.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
selaku menteri pertahanan pada waktu itu turut berjanji akan membuka kertas
siasatan namun kes tersebut kelihatan seperti ditutup terus.
Skandal Armored Personnel Vehicle
Begitu juga kes berkenaan
pembelian 257 unit Armored Personnel Vehicle daripada syarikat Turki yang
berharga RM7.5 bilion.
Harga tersebut dikatakan naik
mendadak daripada harga asal sebanyak RM1.76 bilion seperti yang dilaporkan
oleh akhbar Turki sewaktu perjanjian ditandatangani pada 2011.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara
pada waktu itu, Tony Pua, pernah mempersoalkan perkara ini di Parlimen namun
tidak dijawab oleh menteri pertahanan pada ketika itu.
Skandal Kapal Selam Scorpene
Mindef juga perlu mengkaji polisi
komisen yang melampau kepada syarikat orang tengah yang menjadi broker kepada
pembelian aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perkara ini juga telah menjadi
buah mulut rakyat apabila Perimekar Sdn Bhd, yang dimiliki oleh Razak Baginda
yang juga sahabat kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, mendapat
‘habuan’ sebanyak Euro114 juta (atau RM535 juta mengikut kadar hari ini) dalam
proses pembelian dua unit kapal selam Scorpene.
Skandal ini menjadi lebih hangat
lagi apabila Razak Baginda dikaitkan pula dengan kematian mendiang Altantunyaa
Sharibu yang masih menjadi misteri sehingga kini.
Skandal unit Patrol Vessels
Pembekal atau kontraktor kepada
Mindef yang pernah terlibat dengan projek sakit disenarai hitamkan dan disaman
untuk kerugian yang ditanggung.
Sebagai contoh, projek pembinaan
27 unit Patrol Vessels yang berharga hampir RM1 bilion setiap unit yang gagal
disempurnakan mengikut jadual oleh syarikat PSC-Naval Dockyard.
Syarikat ini dimiliki oleh Tan
Sri Amin Shah yang diketahui sebagai kroni besar Umno-BN.
Syarikat hak milik Lembaga Tabung
Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings, akhirnya terpaksa mengambil alih
PSC-Naval Dockyard untuk memastikan kelancaran projek tersebut.
Skandal PUSPAHANAS
Negara kita juga mengalami
kerugian besar apabila projek pembinaan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional
(PUSPAHANAS) yang bernilai RM100 juta diberikan kepada syarikat hak milik tokoh
wanita Umno, Raja Ropiaah, yang langsung tidak mempunyai pengalaman dalam
bidang pembinaan.
Skandal ini hangat diperkatakan
di media apabila didedahkan oleh Deepak Jaikishan (rakan karib Datin Seri
Rosmah) yang marah kerana Ropiaah dikatakan gagal menunaikan perjanjian kepada
Deepak sebagai timbal balik untuk Deepak membantu dalam projek pembinaan
PUSPAHANAS tersebut.
Sekali lagi anak syarikat LTAT
terpaksa mengambil alih projek sakit milik kroni Umno-BN untuk memastikan
kelancaran projek.
Akhirnya,ABJ harapkan satu tadbir
urus yang cekap dan berhemah berdasarkan kepada kaedah-kaedah terbaik (best
practices) dapat dijadikan amalan di Mindef dan aset-aset yang terbaik turut
dapat disediakan dan diselenggara untuk kegunaan perwira-perwira negara dalam
angkatan tentera.
ABJ: Semoga memberi manfaat.
Comments
Post a Comment