DATUK SERI SHUKRI DIUGUT GARA-GARA SIASAT SKANDAL 1MDB DAN SRC?
Pendedahan Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull baru-baru
ini bahawa beliau terpaksa meninggalkan Malaysia kerana merasakan nyawanya
terancam ketika mengetuai siasatan ke atas skandal kewangan berkaitan SRC
International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, 3 tahun lalu benar-benar
menggemparkan negara.
Kenyataan Datuk Seri Shukri itu
membuktikan bahawa Malaysia pernah di tadbir ala mafia atau gangster. Semenjak
negara ini merdeka sehingga sekarang, belum pernah kita mendengar ada pemimpin
melakukan tindakan luar batasan kuasa terhadap kakitangan awam sebagaimana yang
berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Tindakan seperti ini begitu
melampau dan tidak mungkin dapat dimaafkan begitu sahaja. Semestinya rakyat
yang mengikuti perkembangan beliau merasa sedih dan dukacita bagaimana beliau
dilayan sedemikian sedangkan beliau dan SPRM berusaha keras mahu menegakkan
kebenaran dan menyelamatkan negara.
Sebagai rakyat Malaysia ABJ
ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Shukri kerana berani mendedahkan
pengalaman beliau semasa menyiasat kes skandal 1MDB dan SRC.
Jika tanpa pendedahan beliau,
rakyat Malaysia tidak akan tahu bahawa ada segelintir elit politik era
pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang mencengkam negara menggunakan kekuasaan
dan kekerasan terhadap penjawat awam dan menjadikan negara ini seolah-olah
milik peribadi mereka.
Jika pemimpin kanan SPRM sendiri
mengakui diugut, diancam, ditukar dan dipecat ketika menjalankan tugas,
bagaimana pula dengan kakitangan bawahan yang lain.
Mungkin ramai lagi yang mengalami
pengalaman yang sama atau mungkin lebih teruk tetapi enggan mendedahkannya
kerana bimbang ancaman keselamatan terhadap diri dan keluarga mereka.
Dalam hal ini, ABJ bersetuju agar
siasatan menyeluruh dibuat bagi membuktikan kebenaran dakwaan Datuk Seri Shukri
tersebut.
Jika ternyata ia benar dilakukan,
pelakunya wajar dijatuhkan hukuman berat atas jenayah yang dilakukan itu. Ia
juga sebagai pengajaran bahawa penyelewengan dan salah guna kuasa adalah
jenayah berat yang tidak boleh dimaafkan dan sesiapa sahaja yang melakukannya
wajar dijatuhkan hukuman setimpal.
Apa yang diharapkan kakitangan
kerajaan agar terus dengan sikap profesional, menjalankan tugas atas
profesionalisme dan tidak takut kepada sebarang ugutan oleh pemimpin politik
yang berkuasa.
Pentadbir kerajaan perlu
bertindak mengikut lunas undang-undang dan bukan mengikut arahan secara
semberono oleh pihak atasan. Jangan lindungi pemimpin yang korup tetapi bekerja
untuk kepentingan negara tercinta.
ABJ: Yakin, jika pemimpin dan kakitangan awam saling bekerjasama
melindungi negara dan rakyat, Malaysia akan kembali utuh dan mengulangi
kegemilangan pemerintahan negara suatu ketika dahulu.
Comments
Post a Comment