JANGAN 'RUMAH DAH SIAP, PAHAT MASIH BERBUNYI'


ABJ pernah terbaca tentang perajurit Melayu zaman dulu. Apabila seorang perajurit dulu nak ke medan tempur, maka dia akan bawa bersamanya:

1. Senjata jarak jauh sama ada istinggar atau panah.
2. Senjata jarak sederhana seperti beberapa bilah lembing.
3. Senjata libas seperti pedang, sundang atau parang.
4. Senjata jarak dekat seperti keris tarung.
5. Senjata simpanan seperti keris selit, badik atau pisau wali.
6. Senjata rahsia seperti kerambit atau lawi ayam.

Dengan berbekalkan lima atau enam jenis senjata ini baru lah perajurit Melayu turun ke medan. Sebelumnya peluru istinggar direndam minyak dulu supaya apabila dibedil ia akan terbakar dan menuju ke jantung musuh dalam keadaan terbakar bersama api.

Bilah-bilah senjata lain diletakkan racun sama ada racun warangan, racun tumbuhan atau racun dari bisa haiwan. Beberapa malam sebelum itu perajurit juga berwirid dan berzikir serta solat hajat dan tahajjud sebagai persediaan secara rohani.

Inilah yang dikatakan persediaan untuk berperang. Jadi dari sini kita lihat nenek moyang kita ada beberapa plan, Plan A, Plan B, Plan C dsbnya. Jika istinggar yang dibedil kehabisan peluru dan musuh masih mara ke arahnya, maka dia akan melontar lembing. Jika lembing sudah habis dilontar dan musuh masih mara, dia akan melibas dan menikam dengan sundang. Jika sundang patah dan masih ada musuh yang mara, dia kan bertikam dengan keris. Jika keris juga tercampak dari tangan dan musuh masih mara, dia akan menggunakan keris selit di pinggang. Jika itu juga terpelanting, akhirnya dia akan gunakan kerambit.

Bagi ABJ menyertai pilihanraya adalah ibarat ke medan tempur. Sejauh manakah calon-calon bersedia? Berapa back-up plan yang ada? Jika hanya ada satu plan, memang menempah kalah di awal pusingan pertarungan.

Lihat saja pada hari penamaan calon. Sudah ada beberapa calon yang tewas. Itu baru hari pertama di medan pertempuran. Soalnya mana Plan B? Sepatutnya kalau seseorang calon itu tidak dibenarkan bertanding (atas apa sebab sekali pun), mana backup plannya?

ABJ dapat tahu jika tak silap ABJ ada 2 calon BN yang tak dibenarkan bertanding atas alasan status muflis dan disyaki rasuah. Mereka terus ganti dengan calon simpanan pada waktu itu juga. Ini Plan B mereka. Jadi mereka tangkas dan lebih tersusun.

Memang mudah menyalahkan SPR, PDRM, SPRM dsbya. Tetapi kita perlu sedar bahawa SPR dan PDRM, SPRM adalah agensi kerajaan yang tidak sepatutnya menyebelahi mana-mana pihak. Kenapa mengharapkan agensi-agensi ini berlembut hati dan bersimpati?

Dalam peperangan kita tak boleh mengharapkan pihak lain berlembut hati dengan kita. Yang perlu dibuat ialah bersedia secukupnya, dari segenap segi.

Pertempuran ini ada banyak hari lagi sehingga 9 Mei. Mungkin akan ada calon atau wakil calon yang tidak diizinkan berceramah atau berkempen atas sebab teknikal seperti tiada permit dan sebagainya. Kalau begitu apa backup plannya? Menyalahkan polis tak akan menyelesaikan masalah.

Pada malam penjumlahan undi nanti, apa backup plannya jika tiba-tiba bekalan elektrik terputus di pusat pengiraan undi? ABJ harap semua pihak yang bertanding bersedia secukupnya. Jangan 'rumah dah siap, pahat masih berbunyi'. Menyalahkan orang lain atas kesilapan sendiri bukanlah langkah pejuang.

ABJ: Pesan orang tua-tua, "kita boleh dimaafkan jika kalah perang, tapi kita tak boleh dimaafkan jika tidak bersedia secukupnya untuk berperang..."

Comments

Popular posts from this blog

21 SOALAN BUAT TAN SRI DZULKIFLI AHMAD

TAHNIAH DATUK SERI TUN ABD. MAJID

RASUAH POLITIK DAN POLITIKKAN RASUAH