BENAR BAGAI DIJANGKA
Bukan puluhan atau ratusan ribu
ringgit tapi ratusan juta! Maka sewajarnyalah kira-kira yang raja buat itu demi
kebaikan rakyat jelata dan bila ada raja, ada lah permaisurinya.
Pada 9 Mei rakyat jelata telah
membuat keputusan. Mereka memilih Pakatan Harapan (HARAPAN) yang antara lain,
menjanjikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan Datin Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Kini sudah lebih 20 hari kerajaan
baru HARAPAN mentadbir. Alhamdulillah segala-galanya berlaku dalam suasana aman
damai walaupun ada saat-saat yang mencemaskan.
Jadi janganlah ada mana-mana
pihak – dari mahligai yang bergemerlapan kepada lorong belakang yang hanyir dan
gelap – cuba mencabar kesahihan kuasa rakyat.
Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk
Seri Anwar Ibrahim, ditajukberitakan sebagai berkata beliau bimbang dengan
perbezaan pendapat dalam HARAPAN.
Saya katakan begini kepada
sahabat lama saya itu: Jangan sekadar bimbang saja. Sebagai orang tua kita
lakukanlah yang terbaik bagi mengukuhkan perpaduan dalam pakatan kita.
Tiada yang terlepas pandangan
umum
Sesiapa pun, si papa atau raja
akan mengundang tindak balas yang setimpal sekiranya mereka cuba menidakkan
pilihan rakyat jelata dan undang-undang negara.
Seperti saya nyatakan berulang
kali, dalam dunia tanpa sempadan yang dipacu oleh media sosial ini, tidak
seorang atau satu hal pun akan terlepas daripada pandangan umum.
Dunia hari ini bukan lagi dunia
“raja dalam rumah buat kira-kira. Suri dalam dapur makan roti gula”.
Rakyat jelata mahu tahu dan
terpaksa diberi tahu kira-kira apa yang raja sedang buat dan berapa harga roti
yang dimakan suri kerana rakyat jelata lah yang membiayai keperluan mereka.
Bukan puluhan atau ratusan ribu
ringgit tapi ratusan juta! Maka sewajarnyalah kira-kira yang raja buat itu demi
kebaikan rakyat jelata dan bila ada raja, ada lah permaisurinya.
Dayang tepi kolam yang sedang
mahu jemur tepung tidak lagi mahu dipatuk hidungnya oleh burung hitam. Ini
adalah kerana raja, isteri raja, dayang dan rakyat jelata kini berada di abad
ke-21 dan bukan lagi di zaman dongeng, mitos serta rekaan di mana raja adalah
kudrat.
Secebis (petikan) daripada
Perkara 40, Perlembagaan Persekutuan - Yang di-Pertuan Agong hendaklah
bertindak mengikut nasihat:
(1) Pada menjalankan fungsinya di
bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong
hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang
Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana
yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan
Agong berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan
dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.
(1A) Pada menjalankan fungsinya
di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan
Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas
menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak
mengikut nasihat itu.
Antara Melayu dan Integriti
Ya, memanglah kalau boleh orang
Melayu mahu Melayu menyandang semua jawatan penting, tetapi apa gunanya kalau
Melayu yang berjawatan tinggi itu zalim, perasuah dan bersubahat dengan
penyangak dan pencuri.
Kerajaan baru menjanjikan
reformasi institusi. Untuk itu kita perlukan seorang pakar guaman yang amanah
dan berintegriti sebagai peguam negara (attorney general).
Kalau kita hendak melakukan
pendakwaan kes rasuah berprofil tinggi pula, kita perlukan pula seorang pendakwa
raya negara (prosecutor general) yang berkaliber.
Bagi mengelakkan pemusatan dan
pembolotan kuasa, kita perlu pisahkan tugas guaman dan pendakwaan. Kita perlu
ada seorang peguam negara dan pendakwa raya negara.
Bangsa dan keturunan mungkin
penting bagi sesetengah orang tetapi bagi semua yang mahukan keadilan, yang
lebih penting adalah kewibawaan.
Jadi hendaknya janganlah ada
sesiapa yang cuba mensabotaj proses pembentukan dan pelengkapan pentadbiran
HARAPAN ini atau bermain kayu tiga untuk tujuan politik yang sempit. Rakyat
jelata memerhatikan!
ABJ: Sumber- Kadir Jasin.
Comments
Post a Comment