SELEPAS TIGA PENYIASAT KANAN DISAMAN, KINI GILIRAN ROSMAH PULA DISAMAN RM60 JUTA
Dalam satu perkembangan yang
tidak kurang menariknya selepas bekas Perdana Menteri, DS Najib Razak mengemukakan
saman sivil terhadap tiga penyiasat kanan yang mengendalikan siasatan terhadap
dana berbilion ringgit dalam syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kini
giliran isterinya DS Rosmah Mansor pula disaman sebanyak hampir RM60 juta oleh
seorang tukang emas terkenal dari Beirut atas penghantaran 44 barangan kemas
yang dihantar kepadanya pada Februari lalu.
Tukang emas terbabit melalui
syarikatnya, Global Royalty Trading SAL dalam tuntutannya mendakwa, pada 10
Februari lalu, telah menghantar 44 unit barangan kemas berupa kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang
dan tiara yang setiap satunya bernilai antara AS$124 ribu hingga AS$925 ribu
kepada Rosmah.
Rosmah didakwa dalam surat
bertarikh 22 Mei kemudiannya, mengakui telah menerima semua barangan kemas yang
dihantar itu, tetapi menjelaskan semuanya tidak lagi dalam jagaannya kerana
sudah dirampas oleh pihak polis dalam serbuan di kediaman dan tiga kondo mewah
yang dikaitkan dengan Najib selepas kejatuhannya dalam pilihanraya lalu.
Global Royalty dalam tuntutannya
memohon perisytiharan mahkamah bahawa semua barangan itu adalah milik sah
mereka serta perlu dikembalikan atau alternatifnya, Rosmah wajar membayar
kembali keseluruhan nilai barangan kemas tersebut.
Polis sebelum ini merampas 72 beg
di mana 25 daripadanya adalah mengandungi barangan kemas berjumlah 12 ribu
jenis di kediaman dan kondo yang dikaitkan dengan Najib yang berjumlah RM440 juta.
Nilai semasa semua rampasan dalam
72 beg berkenaan, termasuk wang tunai sebanyak RM116 juta, 567 beg tangan
mewah, 423 utas jam tangan berjenama dan 234 cermin mata, adalah dianggarkan
antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.
Rabu lalu, Najib dituduh di
mahkamah atas empat pertuduhan rasuah serta pecah amanah dan dibebaskan dengan
ikat jamin RM1 juta sementara menunggu hari perbicaraan.
RM500 ribu daripada wang
jaminannya adalah hasil kutipan yang digerakkan oleh sekumpulan pemimpin UMNO,
termasuk ada Ketua Wanita UMNO yang sanggup menyerahkan gelang kesayangannya.
Kini, selepas Najib, giliran
Rosmah pula berdepan tuntutan saman RM60 juta atas pembelian 44 jenis barangan
kemas yang belum dibayar, tetapi sudah dirampas oleh pihak polis.
Apa usaha para pemimpin UMNO,
termasuk Wanita UMNO di seluruh negara untuk membantu Rosmah jika kalah dalam
saman ini di mahkamah?
ABJ: Elok kiranya dimulakan usaha menubuhkan tabung kedua dengan segera.
Comments
Post a Comment