TERIMA KASIH…HARGAILAH MEREKA…DUDUKLAH DI RUMAH


Hargailah mereka, barisan hadapan perkhidmatan kesihatan yang sedang bertungkus lumus menyelamat dan mencegah penularan wabak Covid-19.

Mereka kini ibarat di medan perang. Musuh mereka ada yang di depan mata tetapi yang lebih menyukarkan adalah bagi menghadapi musuh yang tidak kelihatan.

Tidak ada jaminan ketika sedang ‘berjuang’ itu, tiba-tiba mereka ‘diserang’ dari segenap penjuru. Jika bernasib baik akan selamat, jika tidak tewas.

Begitulah realiti kehidupan petugas-petugas kesihatan hari ini dalam usaha merawat, mencegah dan mengekang wabak koronavirus Covid-19.

Dengan kes yang terus meningkat, kematian bertambah, kini tugas mereka semakin berat dan mencabar, yang menuntut kesabaran amat tinggi.

Justeru apa peranan kita yang ada di barisan belakang? Adakah membiarkan mereka bersendirian ‘bertarung’ dalam pertempuran yang belum pasti kesudahannya?

Adakah sekadar menjadi pemerhati, membiarkan mereka diserang habis-habisan sehingga tumbang atau menyerah kalah?

Tidak mungkin mereka menyerah kalah.

Apa yang mungkin berlaku adalah mereka semakin lemah. Kekuatan fizikal dan mental serta moral merosot setelah rakan-rakan yang turut bersama ‘cedera’ seorang demi seorang yang juga memerlukan bantuan mereka.

Sanggupkah kita melihat suasana ini?

Apakah pengorbanan yang boleh kita lakukan untuk membantu dan menyokong mereka dari belakang?

Tidak seberapa pengorbanan yang ditagih….

Hanya DUDUKLAH DI RUMAH. Satu kerja mudah berbanding mereka di barisan hadapan.

Kita di barisan belakang juga memainkan peranan amat besar bagi membendung gelombang yang boleh melemahkan kekuatan barisan hadapan.

Peranan kita menahan ‘kemaraan’ musuh yang semakin menggila. Masyarakat bertanggungjawab menyekat kemaraan koronavirus ini walaupun tidak kelihatan dengan mata kasar. Kita masih ada harapan asalkan rakyat menunjukkan semangat muafakat serta perikatan yang kukuh.

Hanya lebih kurang beberapa hari lagi (mudah-mudahan) untuk kita akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangusng.  

Ingatlah, saban hari semakin bertambah kes kerana rantaian wabak ini belum ‘mati’ di pertengahan jalan sebaliknya sentiasa terpaut dengan mangsa baharu yang tidak mengenal siapa mereka.

Lebih membimbangkan apabila virus ini menyapa anggota barisan hadapan kita yang tugas mereka untuk menyelamat tetapi mereka pula yang perlu diselamatkan.

Tidak dapat dibayangkan bagaimana sekiranya barisan hadapan ini lumpuh kerana keletihan dan kecewa dengan kes yang terus bertambah.

Bayangkan jika barisan hadapan ini tumpas.

Bukan Covid-19 sahaja yang perlu dihadapi tetapi penyakit-penyakit lain juga memerlukan perhatian barisan ini. Bayangkan satu persatu hospital terpaksa menampung Covid-19. Apa terjadi kepada mereka yang menghidap tiga serangkai, kemalangan dan lain-lain?

Apa lagi yang hendak dijelaskan. Siapa lagi yang boleh merayu supaya tidak ada yang keras kepala, degil, ingkar arahan?

Bukan setakat Perdana Menteri, TS Muhyiddin Yassin yang merayu, bahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kita harus belajar apa yang berlaku di Itali sehingga jumlah kematian di negara itu mengatasi China, tempat bermulanya wabak ini.

Pada masa yang sama kita contohi Wuhan yang menjadi titik tengah wabak ini bagi mengekang Covid-19.

Orang politik yang berpengaruh, jangan lupa merayu pengundi mereka untuk duduk di rumah. Jangan pandai merayu undi semasa pilihan raya sahaja. Masa sekarang bukan untuk menunjukkan kedegilan atau keangkuhan.

ABJ: Jangan cabar dengan tindakan yang merumitkan keadaan.

Comments

Popular posts from this blog

21 SOALAN BUAT TAN SRI DZULKIFLI AHMAD

TAHNIAH DATUK SERI TUN ABD. MAJID

RASUAH POLITIK DAN POLITIKKAN RASUAH