APABILA MEREKAYASA FITNAH RASUAH JADI MODAL POLITIK
Hampir setiap hari muka hadapan akhbar-akhbar
utama di Malaysia panas membicarakan isu politik. Yang uniknya di
Malaysia, hampir semua kejadian yang berlaku dikaitkan dengan politik dan
dijadikan modal untuk menyerang satu sama lain.
Telah menjadi resam politik di
seluruh dunia, serangan bersifat peribadi bagi
menjatuhkan imej dan kredibiliti musuh-musuh politik semakin menjadi-jadi.
Apa yang membezakan senario
politik di Malaysia berbanding negara-negara maju ialah kempen dan serangan
bermotifkan politik ini tiada musimnya. Dalam erti kata lain, ia berlaku hampir
sepanjang masa tidak mengira pilihan raya atau hari raya atau terjumpa hantu raya.
Hari ini rasuah dan politik
ibarat isi dengan kuku. Sudah menjadi kelaziman apabila menyebut politik pasti
dirantai dan dikaitkan dengan rasuah.
Menyentuh isu imej dan kredbiliti
pemimpin atau parti politik pula, rasuah merupakan senjata bahaya yang mampu
meragut pemimpin dan kepimpinan yang ada.
Ada tiga strategi yang digunakan
oleh ahli-ahli politik dalam penggunaan isu rasuah ini.
Pertama, merekayasa fitnah yang
berbentuk tohmahan dengan menuduh seseorang calon, pemimpin atau parti politik mengamalkan
rasuah dan salah guna kuasa sebagai senjata menjatuhkan kredibiliti pihak
lawan.
Kedua, menjadikan usaha memerangi
rasuah sebagai manifesto perjuangan bagi meraih simpati dan undi rakyat. Nampak
semacam strategi yang dicadangkan
merupakan yang terbaik untuk mengubah kehidupan rakyat dan menghapuskan rasuah.
Ketiga, dengan cara menunjukkan
ketidakstabilan politik, menyerang agensi-agensi kerajaan tertentu sebagai
lemah, tidak berfungsi dan di bawah telunjuk pemerintah bertujuan untuk
meruntuhkan dan menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan
dan kehakiman yang sedia ada.
Sejarah membuktikan kepada kita
jika isu rasuah ini dipolitikkan, ia bukan sahaja dapat meruntuhkan kerajaan,
malah menimbulkan kebencian serta perpecahan di kalangan rakyat yang akhirnya
mewujudkan ketidak stabilan politik, ekonomi dan sosial. Kita harus sedar dan
belajar daripada pengalaman negara-negara jiran seperti di Filipina, Indonesia
dan Thailand.
Isu rasuah dimanipulasi sehingga
berjaya meruntuhkan kepimpinan Presiden Ferdinand Marcos. Senjata yang sama
digunakan oleh Fidel V Ramos untuk menjatuhkan Corazon Aquino (yang sebelum ini
menggunakan isu rasuah bagi menjatuhkan Marcos). Joseph Estrada, seorang
pelakon yang turut menggunakan isu rasuah dan penyelewengan untuk mengambil
alih kepimpinan Fidel V Ramos turut tersungkur atas isu rasuah yang
diperjuangkan oleh seorang wanita kerdil bernama Gloria Macapagal Aroyo.
Lihat apa yang terjadi pada
penghujung karier politik Aroyo, beliau turut disiasat dan dikenakan hukuman
penjara atas isu rasuah oleh Presiden Benigno Aquino III. Isu rasuah menjadi
manifesto utama Presiden Benigno Aquino III dalam meraih undi dan simpati
rakyat dengan menegaskan akan memberi keutamaan untuk membanteras rasuah dalam
pentadbiran kerajaan yang sedia ada. Beitu juga dengan Pengerusi Parti Komunis
China, Xi Jinping yang menegaskan bahawa masalah utama beliau ialah
membersihkan rasuah termasuk ahli politik dan pegawai kerajaan.
Pengajaran yang diperolehi hasil
dari pengalaman yang dilalui rakyat Filipina, kegemilangan Filipina sebagai
salah satu negara ASEAN yang maju dan membangun di era pemerintahan Ferdinand
Marcos tidak berterusan dan jatuh merudum selepas itu. Selalunya pertukaran
kepimpinan dan kerajaan yang lemah tersebut tidak menjanjikan kemakmuran dan
kestabilan ekonomi, politik dan sosial di Filipina. Hari ini, Filipina jauh
lebih mundur berbanding dengan kemajuan Malaysia atau Negara-negara ASEAN
yang lain.
Senario politik jatuh dan
menjatuhkan kepimpinan dengan menggunakan isu rasuah tidak membawa sebarang
faedah kepada rakyat. Apatah lagi, jika isu-isu rasuah yang dibangkitkan
merupakan tohmahan liar dan fitnah yang sengaja diada-adakan bagi menjatuhkan seseorang
pemimpin. SPRM melakukan penyiasatan ke atas semua aduan rasuah tetapi
terdapat kes rasuah yang telah disiasat dan tidak didakwa di mahkamah oleh
pejabat Peguam Negara kerana berpunca kerana apabila sesuatu kes di bawa ke
mahkamah, bukti yang dikemukakan tidak mencukupi serta tidak mendapat kerjasama
daripada saksi.
Apa yang mustahak untuk sesuatu
kes berjaya disiasat dengan baik pemberi maklumat hendaklah memastikan agar
sebarang kes perlu dilaporkan terlebih dahulu kepada SPRM sebelum membuat apa-apa
hebahan di blog atau sidang media.
Dengan cara ini siasatan dapat
dijalankan dengan cara profesional dan untuk mengelakkan bukti dihapuskan.
Siasatan kes rasuah tidak seperti siasatan kes-kes jenayah lain kerana
keberangkalian pemberi atau penerima untuk membuat laporan adalah agak kecil.
Ini adalah kerana kedua duanya mendapat keuntungan.
Bagi SPRM, ia tidak memilih bulu
jika ada terdapat kes-kes rasuah yang dilakukan sama ada dari pihak parti lawan
atau pemerintah.
Kerjasama orang ramai sangat diperlukan
untuk memberi maklumat kepada organisasi ini.
Masyarakat patut elak mencemuh
dan memperlekehkan SPRM.
ABJ: Sangat yakin SPRM memerlukan
sokongan penuh masyarakat untuk menjalankan siasatan dengan licin sehingga dapat membawa
penjenayah ke muka keadilan.
Comments
Post a Comment