DAN KETIKA INI…


Ketika ini, badan yang sihat beserta wang yang banyak tidak lagi mampu menggembirakan kita.

Jalan raya dan lebuh raya yang lengang tidak mampu mengubat kesesakan yang seringkali ditempuh sebelum ini.

Wang yang ada tidak mampu membawa kita menaiki pesawat untuk melancong ke pelusuk dunia.

Banyak negara sudah menutup pintu masing-masing. Ke mana mahu ‘melarikan diri’ apabila dunia sedang bergelut dengan wabak penyakit ini?

Negara-negara yang sering jadi tumpuan juga sedang ‘sakit’ menyebabkan sektor pelancongan lumpuh.

Berapa ramai jemaah kita yang terpaksa membatalkan hasrat untuk mengerjakan umrah apabila dua kota suci Makkah dan Madinah ditutup secara berperingkat-peringkat.

Sunyi sepi berbanding suasana sebelum ini.

Pergerakan kita hari ini terbatas.

Wang tidak mampu membeli segala-galanya.

Cuti yang diberi tidak boleh dimanfaatkan untuk pulang ke kampung atau melancong. Ada bisnes di pasar malam, ada pekerjaan, ada kemudahan pengangkutan dan macam-macam lagi juga tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Begitulah yang terjadi apabila sesebuah negara jatuh ‘sakit’ disebabkan wabak penyakit.

Justeru sama-samalah kita memulihkan ‘kesihatan’ negara kita, berusaha untuk membantu pihak berkuasa menyekat rantaian wabak ini.

Jangan persendakan PKP. Masih ramai yang berpotensi membawa virus perlu tampil. Mereka ini jangan pula salah faham ‘duduk di rumah’ walaupun sedar berpotensi membawa virus.

Jujurlah kepada diri sendiri, kepada masyarakat dan negara. Kasihanilah barisan hadapan kita terutama dalam sektor perkhidmatan kesihatan. Jangan biarkan mereka juga sakit. Parah negara tanpa kehadiran mereka dalam situasi yang sukar ini.

Ingatlah kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Untuk benar-benar membasmi dan mengawal wabak, semua negara mesti mengambil langkah mengasingkan, menguji, merawat dan mengesan. Jika tidak, rantaian penyebaran akan meningkat semula apabila langkah kawalan pergerakan ditarik balik.

Semoga rakyat faham. Dengan segala ikhtiar yang kita lakukan, kita berserah kepada-Nya, berlindung dari segala penyakit yang buruk dan mengerikan.

ABJ: Sama-sama kita berdoa memulihkan ‘kesihatan’ negara kita, agar dikembalikan kehidupan seperti sebelum diuji dengan wabak penyakit ini. Kehidupan yang lebih baik dan bertakwa kepada-Nya.

Comments

Popular posts from this blog

21 SOALAN BUAT TAN SRI DZULKIFLI AHMAD

TAHNIAH DATUK SERI TUN ABD. MAJID

RASUAH POLITIK DAN POLITIKKAN RASUAH