KETIKA…
Ketika diumumkan harga minyak turun, ramai yang gembira.
Pertama sudah tentu meringankan beban mereka. Kedua ada yang mengaitkan dengan politik iaitu janji Pakatah Harapan (PH) menurunkan harga minyak terlaksana ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN). Bukan RM1.50 tetapi RM1.44 seliter.
Ketepikan kenyataan berkaitan politik…Anggaplah itu sekadar sindiran.
Lupakan kerana di sebalik kegembiraan itu, penurunan harga minyak tidak memberi makna yang besar kepada kebanyakan orang. Apa yang boleh dilakukan walaupun harga minyak turun kepada RM1 dalam tempoh seminggu dua ini?
Andai ditakdirkan kadar tol diturunkan sebanyak 50 peratus sekali pun, berapa ramai yang mampu memanfaatkannya? Mungkin mereka terlupa tentang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan sehingga 31 Mac ini. Mungkin juga dilanjutkan lagi jika keadaan memaksa.
Justeru, mahu ke mana kita ketika PKP ini jika minyak kereta diisi penuh tangki? Bukankah kita disuruh duduk di rumah?
Berita penurunan harga minyak datang bersama berita-berita duka yang lain seperti kes Covid-19 semakin meningkat…
Malah banyak lagi cerita negatif yang berlegar di WhatsApp yang menimbulkan kebimbangan terhadap wabak yang begitu pantas merebak.
Hakikatnya, sekarang negara kita ‘tidak sihat. Sedang sakit’, Jika berdasarkan pelbagai maklumat atau mesej, situasinya tidak baik. Bagaikan api yang sedang membakar hutan. Dicurah air belum pasti padam. Negara orang juga ‘sakit’.
Ini amat berbeza dengan hanya individu yang sakit atau tidak sihat. Hanya dia yang menanggung sendiri penderitaannya. Pulih atau tidak, bergantung kepada perubatan dan kekuatan diri untuk melawan penyakit yang ada padanya. Sampai masa dijemput Ilahi, maka berakhirlah penderitaannya.
Tetapi hari ini negara yang ‘sakit’. Semua orang terasa kesannya. Sedikit demi sedikit nikmat yang kita nikmati ditarik, bukan sahaja nikmat di dunia tetapi juga ‘nikmat’ untuk dibawa bersama sesudah mati.
Terlalu panjang untuk menyenaraikan nikmat itu satu persatu. Masing-masing tahu dan sedang merasainya dalam tempoh empat belas hari ini.
ABJ: Mungkin permulaannya masih okay tetapi jika berterusan?
Comments
Post a Comment