TERIMA KASIH WAHAI SAHABATKU
Selamat Hari Polis wahai sahabatku yang bertugas di barisan hadapan.
Terima kasih kerana sudi berpanas, berhujan, dan terdedah kepada risiko jangkitan demi memastikan perintah kawalan pergerakan ini dipatuhi.
Ramai yang merungut sekatan jalan raya ini menyusahkan dan tidak perlu. Saya percaya kalian tidak mahu menyusahkan sesiapa, malah jika boleh, kalian pun mahu duduk di rumah seperti orang lain.
Ramai yang mengadu sekatan jalan raya ini membuatkan sukar nak beli barangan dapur dan makanan. Kalian pula tercegat di jalanan, perut berkeroncong, berlapar, tak sempat makan.
Ramai yang mengeluh sekatan jalan raya ini menyebabkan mereka terpisah dari keluarga. Kalian pula, ada yang tidur di dalam khemah, kerana khuatir menyebar virus kepada orang tersayang.
Di hari yang istimewa ini, biasanya ada sambutan dan perarakan untuk menghargai kalian. Hari ini, itu semua tiada. Hanya ada deretan kenderaan yang kalian kena saring satu persatu.
Jangan luntur semangat, jangan putus asa.
Perjuangan kalian diiringi doa dari sebahagian besar rakyat Malaysia. Kami sentiasa bersama kalian.
ABJ: Polis dan Masyarakat, berpisah tiada.
Comments
Post a Comment