BAGAI KETAM…
‘Bagai ketam mengajar anak berjalan betul’. Inilah teladan buruk yang ditunjukkan oleh segelintir pemimpin ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga berjalan sekarang.
Mereka pandai menggesa rakyat agar ‘duduk di rumah’ dan patuh kepada penguatkuasaan PKP.
Tetapi sebaliknya mereka pula yang terang-terang menunjukkan kedegilan dengan melanggar PKP itu sendiri.
Ketika orang ramai patuh menyahut seruan kerajaan agar akur dengan PKP fasa tiga yang bertujuan memutuskan rantaian penyebaran Covid-19, mereka pula seronok ke sana sini dengan risiko menyebarkan wabak tersebut.
Bukan main seronok bertemu, berkumpul dan berbual, malah boleh makan-makan lagi secara berkumpulan.
Tentulah sakit mata rakyat melihat pemandangan seperti ini. Rakyat sahaja yang disuruh akur tetapi pemimpin mempamerkan sebaliknya.
Apakah teladan baik yang dapat dipamerkan oleh para pemimpin seperti ini kepada rakyat sedangkan mereka sendiri tidak menunjukkan contoh ikutan murni untuk diikuti?
Pemimpin mengharapkan rakyat akur perintah, tetapi di mana hendak mereka sembunyikan muka jika mereka sendiri ingkar?
Tidak malukah mereka kepada rakyat yang sentiasa patuh dan memberikan kerjasama kepada kerajaan?
Rakyat tambah kecewa kerana antara pemimpin yang melanggar PKP. Kenapakah perlu melawat maahad tahfiz pada waktu ini? Tidak munasabah jika tidak tahu PKP sedang dikuat kuasa.
Tidak boleh tunggukah sehingga keadaan pulih?
Penduduk sentiasa saja gemar untuk menjamu tetamu. Pemimpinlah yang mesti nasihatkan mereka supaya jangan berkumpul, jangan makan ramai-ramai pada waktu ini. Lawatan ke tahfiz itu telah menjadi punca segala-segalanya.
Kini rakyat ingin melihat apa tindakan kepada pemimpin yang melanggar PKP. Ramai sudah meluahkan kemarahan melalui media sosial.
Ironinya, jika rakyat yang melakukannya mereka akan ditangkap, didenda atau dihukum penjara. Bagaimanakah pula dengan pemimpin?
Pelaksanaan undang-undang dan tindakan mesti seragam tanpa pilih kasih kerana tidak siapa mengatasi undang-undang.
ABJ: Kepimpinan melalui teladan jangan hanya slogan tetapi diterjemahkan melalui tindakan.
Comments
Post a Comment