BILA WIRA BEBAL DAN SETIA MELULU???
Gladiator adalah wira-wira bebal
dan bodoh yang dilagakan seperti haiwan oleh tuannya.
Pemikiran feudal yang diwariskan
kepada orang Melayu ialah setia membuta tuli kepada golongan elit Melayu. Era
neofeudalisme sebenarnya mempunyai
pemikiran feudal yang lebih dahsyat berbanding era feudal sendiri. Elit Melayu
daripada golongan politik menuntut rakyat setia membuta tuli kepada mereka.
Sebabnya selepas berakhirnya era
feudalisme, bermula pula era baru neofeudalisme di mana tempat
pembesar-pembesar feudal digantikan dengan golongan elit yang berpengaruh dan
berkuasa dalam dunia politik. Mereka
inilah yang menyuburkan sikap dan
pemikiran konservatisme feudal dalam kalangan rakyat untuk mengekalkan kuasa.
Dulu pembesar-pembesar feudal
menonjolkan wira dalam kalangan orang Melayu yang tidak mempunyai pemikiran
atau pandangan dunia yang luas terhadap keadilan sosial. Kerana kecetekan
pemikiran dan bebal mudahlah
pembesar feudal mengawa mereka.
Maka tidak hairanlah kalau wira Melayu era feudal adalah
yang boleh dipegang tali hidungnya. Mereka ini setia melulu.
Wira ini jenis begini diperlakukan seperti haiwan,
diperagakan kehebatan bertarung di tengah gelanggang sambil disaksikan oleh
pembesar-pembesar feudal. Wira pun bertarung setengah mati dengan kudrat, bukan
ketinggian pemikiran untuk mematahkan hujah lawan.
Disebabkan oleh akal dan
pemikiran mereka dangkal, kehebatan hanya diukur pada kekuatan fizikal bukan
daya intelektual. Cuma lebihnya wira ini
mempunyai tahap kesetiaan yang sangat tinggi, sekalipun pada hal-hal yang
bertentangan dengan agama, moral atau sosial.
Mereka tidak takut kepada Tuhan tetapi takut kepada pembesar feudal.
Maka tidak hairanlah kalau samseng-samseng yang tidak menyumbang kepada kemajuan
intelektual orang Melayu zaman dulu diangkat sebagai wira. Terus disanjung
zaman ke zaman dalam pendidikan sejarah di negara kita. Sumbangan
kemasyarakatan tidak menjadi ukuran sebaliknya dilihat sejauh manakah kesetiaan
berkorban kepada pembesar feudal terhadap hal- hal yang tidak menyumbang kepada
kebaikan masyarakat.
Penjajah amat suka dengan sikap
pembesar feudal yang membentuk wira
setia membuta tuli ini untuk menjaga kelangsungan kuasa seperti ini.
Maka penjajah pun mendekati pembesar feudal sebagai seorang rakan bukan musuh
di mana bangsanya akan ditarah kemudiannya.
Pemikir tersohor S.H. Al Attas dalam buku The Gradding of Accupational Prestige
Amongs the Malay ini Malaysia dalam jurnal Modernization and Sosial Change
menulis, “……modenisasi dan penjajahan Malaya, walaupun membawa
perubahan-perubahan sosial, tidak menyebabkan kejatuhan golongan bangsawan tradisional
tetapi sebaliknya memperkukuhkan kedudukannya. Kehilangan kuasa mereka di
tangan British telah diganti dengan peningkatan kuasa pentadbiran dan kuasa
sosial.”
Pemikiran feudalisme ini
dialirkan kepada golongan elit Melayu yang berkedudukan tinggi dalam politik,
berkuasa dan berpengaruh dalam sistem sosial dan politik moden. Ini berlaku
selepas negara mencapai “kemerdekaan” daripada penjajah. Elit Melayu ini
juga menonjolkan wira-wira yang setia
melulu untuk menjadi tunggak
kepada kuasanya.
Pada masa yang sama elit Melayu
ini mempotretkan dirinya sendiri sebagai
wira kononnya mempertahankan sesuatu yang menggugat
kedudukan orang Melayu. Ironinya dalam
banyak hal tindakan golongan elit Melayu ini
bertentangan dengan agama, etika moral atau budaya. Hal yang sebenarnya elit Melayu
mempertahankan kepentingan mereka bukan kepentingan orang Melayu. Malah selalu mengugut, sekiranya mereka tidak
terus diberi kuasa, orang Melayu akan
ditindas. Ironinya merekalah yang
menindas Melayu.
Menjulang Hang Tuah kerana kerana setia buta tulinya adalah satu
bentuk penerapan konservatisme feudal
kepada orang Melayu hingga sekarang. Konservatisme ini mengalir kepada elit Melayu
kemudian mencipta wira-wira Melayu yang bebal, cetek pemikiran, samseng dan oportunis
yang kononnya memperjuangkan orang Melayu.
Malangnya wira-wira bebal ini diterima kerana setianya kepada elit
Melayu.
Sebenarnya wira ini hanya
memperjuangkan kelangsungan elit Melayu. Pada masa yang sama pula dari setiap
penjuru dan setiap masa, orang Melayu diperingatkan dan dijaja tentang masa
depan mereka akan gelap sekiranya tiada elit Melayu. Peringatan-peringatan yang
berupa ugutan ini diulang-ulang hingga tertanam di benak orang Melayu.
Oleh hal yang demikian tidak
menghairankan kalau sepanjang zaman ada sahaja wira Melayu yang bebal
ditonjolkan sebagai wira. Mereka
menjadi benteng kelangsungan kuasa
elit Melayu. Hingga sekarang sesetengah wira yang ditonjolkan oleh elit
Melayu adalah yang dangkal dan tumpul dunia fikirnya. Wira-wira ini sanggup
membuat kerja-kerja membodohkan diri
demi kepentingan elit Melayu yang menjadi ketuanya.
Taat setia membuta tuli ini
membuatkan wira itu membisu terhadap kelemahan dan kemungkaran golongan mereka. Pada masa yang lain pula
mereka menjadi proaktif meluahkan hujah hujah dangkal semata-mata untuk mempertahankan elit Melayu
yang menyediakan kemewahan dan kedudukan kepadanya. Mereka diberikan pangkat, gelaran dan imbuhan
kerana kedangkalannya.
Pada era feudalisme wira disuruh
berlawan seperti haiwan di tengah gelanggang dan disaksikan oleh
pembesar-pembesar istana sambil bersukaria dengan dayang-dayangnya. Pada era
moden ini pula elit Melayu juga melakukan hal yang sama. Mereka sendiri tampil “berlawan” dengan lawan serta memperagakan sekelian banyak kebodohan
yang ada demi kelangsungan kuasa tuannya.
ABJ: Adakah kita mahu wira-wira
kita dilagakan seperti haiwan oleh tuannya?
Comments
Post a Comment